Bantu pulihkan ekonomi Gaza

Bantu pulihkan ekonomi Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali Gaza disebut, yang terbayang di fikiran masyarakat dunia ialah runtuhan bangunan, kanak-kanak berdarah, ibu kehilangan anak dan jeritan kemanusiaan yang tidak berkesudahan.

Namun persoalannya, sampai bila naratif Gaza akan terhenti pada simpati dan bantuan kecemasan semata-mata?

Sampai bila dunia mahu melihat Gaza sebagai wilayah yang hanya layak menerima sedekah, bukan sebagai sebuah masyarakat yang berhak membina masa depan dengan maruah?

Hakikatnya, apa yang sedang berlaku di Gaza hari ini bukan sekadar kemusnahan akibat perang tetapi keruntuhan menyeluruh sebuah sistem kehidupan. Ia adalah runtuhnya ekonomi, lumpuhnya institusi, terpadamnya peluang pekerjaan dan diragutnya harapan sebuah generasi.

Maka, usaha membina semula Gaza tidak boleh terus berlegar dalam kerangka bantuan jangka pendek. Gaza memerlukan pemulihan ekonomi yang berstruktur, berdaya tahan dan berasaskan hak untuk hidup; bukan sekadar belas ihsan.

Gaza harus dilihat sebagai sebuah entiti hidup. Ia bukan sekadar tanah yang musnah, tetapi sebuah masyarakat yang masih bernafas, berfikir dan bercita-cita.

Kanak-kanak Gaza bukan sekadar mangsa perang, mereka adalah generasi masa depan yang berhak membesar dalam keadaan aman, berpendidikan dan bermaruah. Membantu Gaza bukan kerana mereka miskin, tetapi kerana mereka mempunyai hak untuk hidup seperti manusia lain.

Inilah perubahan cara pandang yang mesti berlaku. Bantuan kemanusiaan tetap penting, namun ia tidak boleh menjadi satu-satunya jawapan. Bantuan tanpa pemerkasaan hanya akan melahirkan kebergantungan.

Gaza memerlukan peluang untuk berdikari, bekerja dan membina ekonominya sendiri.

GAZA tidak boleh terus berlegar dalam kerangka bantuan jangka pendek sebaliknya memerlukan pemulihan ekonomi yang berstruktur, berdaya tahan dan berasaskan hak untuk hidup. – AFP

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri Kamaruzzaman dalam forum kemanusiaan Charting Gaza’s Economic Reconstruction Through Islamic Solidarity menekankan bahawa, dalam konteks inilah muncul pendekatan baharu seperti Inkubator Perniagaan Malaysia (MBI) di Gaza, yang cuba mengubah paradigma bantuan kepada pemulihan ekonomi berteraskan maruah.

Realiti pasca-perang di Gaza tidak boleh disederhanakan sebagai “kerosakan”. Ia adalah keruntuhan total. Pasaran tidak berfungsi, institusi pendidikan terganggu, sektor pekerjaan musnah dan jaringan ekonomi terputus.

Dalam keadaan ini, membina semula bangunan tanpa membina semula sistem ekonomi hanyalah penyelesaian separuh jalan. Apa gunanya rumah baharu jika tiada pekerjaan? Apa gunanya sekolah jika ibu bapa tidak mampu menyara keluarga?

MBI mengambil inspirasi daripada model Perniagaan Sosial yang diperkenalkan oleh Muhammad Yunus iaitu model yang melihat perniagaan bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan, tetapi sebagai alat menyelesaikan masalah sosial.

Keuntungan tidak diagihkan kepada pemodal, sebaliknya dilaburkan semula untuk memperkukuh komuniti. Pendekatan ini amat sesuai untuk Gaza, yang memerlukan ekonomi beretika dan berdaya tahan, bukan kapitalisme penindasan.

Melalui MBI, tumpuan diberikan kepada sektor-sektor asas tetapi strategik seperti pengeluaran makanan, pembuatan berskala kecil, perkhidmatan tempatan, industri berkaitan pertanian dan pekerjaan jarak jauh.

Sektor-sektor ini dipilih kerana ia boleh berfungsi dalam keadaan terhad, memanfaatkan kemahiran tempatan dan memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.

Lebih penting, ia memberi ruang kepada rakyat Gaza untuk bekerja dengan tangan sendiri dan membina kembali maruah yang telah lama dirampas.

Ramai rakyat Gaza tidak mahu bergantung kepada bantuan selama-lamanya. Mereka mahu bekerja, mahu menyara keluarga dan mahu menentukan masa depan sendiri. Inilah hakikat yang sering gagal difahami oleh dunia luar.

Palestin bukan miskin dari segi sumber manusia. Mereka kaya dengan bakat, kemahiran dan daya tahan. Yang memiskinkan mereka ialah sekatan, penjajahan dan penindasan ekonomi yang berpanjangan.

Namun, usaha pemulihan ekonomi ini berhadapan dengan kekangan besar. Sekatan pergerakan dan perdagangan menyebabkan produk yang dihasilkan di Gaza tidak dapat menembusi pasaran luar. Ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi isu dasar dan politik.

Tanpa tekanan diplomatik yang konsisten, inisiatif ekonomi tempatan akan terus tercekik. Justeru, pemulihan ekonomi Gaza mesti disertai dengan usaha politik untuk membuka akses pasaran dan memecahkan sekatan yang menindas.

Dari sudut makroekonomi global, krisis Gaza tidak berlaku secara tiba-tiba atau terhad kepada tahun 2023. Ia adalah kesinambungan penjajahan ekonomi yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Kesan ekonomi ini dirasai dalam kehidupan seharian rakyat Palestin dari harga makanan, peluang pekerjaan, akses pendidikan hingga kesihatan.

Maka, pemulihan ekonomi juga adalah sebahagian daripada hak rakyat Palestin untuk membebaskan diri daripada penjajahan moden dan hidup dalam keadaan aman.

Dunia juga perlu jujur mengakui bahawa Gaza sebenarnya kaya dengan sumber seperti tanah pertanian, laut, tenaga manusia dan budaya kerja yang kuat.

Sektor pertanian, termasuk tanaman simbolik seperti zaitun, bukan sahaja penting dari sudut ekonomi, tetapi juga identiti dan kedaulatan makanan.

Memulihkan pertanian Gaza bermakna memulihkan hubungan rakyat dengan tanah mereka sendiri.

Dalam konteks ini, cadangan projek berskala besar seperti pembinaan Menara Malaysia di Gaza menerusi inisiatif CGM akan membawa makna strategik.

Bukan sekadar bangunan fizikal, tetapi pusat mikroekonomi yang menggabungkan perniagaan kecil, ruang komersial dan pejabat teknologi.

Projek sebegini mampu mencipta peluang pekerjaan, merangsang ekonomi tempatan dan menjadi simbol solidariti jangka panjang, bukan sekadar simpati sementara.

Peranan masyarakat sivil, termasuk pelajar dan gerakan akar umbi di peringkat global juga tidak boleh dipandang remeh. Sumbangan bukan hanya dalam bentuk dana, tetapi mobilisasi kesedaran dan tekanan berterusan kepada pembuat dasar.

Pemulihan Gaza bukan misi sehari dua. Ia memerlukan komitmen bertahun-tahun, konsistensi dan kesabaran.

Yang paling penting, Gaza tidak boleh menunggu. Pemulihan segera mesti dimulakan sekarang, bukan ditangguhkan atas alasan rundingan atau ketidaktentuan geopolitik.

Setiap hari kelewatan bermakna lebih ramai kehilangan peluang, lebih ramai kanak-kanak membesar dalam trauma dan lebih banyak potensi terbuang.

Solidariti Islam dalam konteks Gaza tidak boleh terhenti pada slogan dan emosi. Ia mesti diterjemahkan dalam bentuk kerangka ekonomi yang adil, model pembangunan yang lestari dan pendirian politik yang berprinsip.

Zakat, wakaf dan ekonomi sosial Islam harus digembleng secara strategik, bukan bersifat reaktif.

Membina semula Gaza bukan soal menyelamatkan orang miskin. Ia soal memulihkan hak, maruah dan kebebasan sebuah bangsa. Selagi Gaza terus dilihat sebagai beban kemanusiaan, selagi itulah penderitaan mereka akan berulang.

Tetapi jika Gaza dilihat sebagai rakan dalam pembangunan dan perjuangan keadilan, maka di situlah bermulanya harapan sebenar. – UTUSAN

DR. Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Komuikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×