KUALA LUMPUR: Bekalan ayam dan telur di pasaran tempatan dijangka kekal mencukupi serta tidak menghadapi sebarang gangguan, terutama menjelang Ramadan bulan depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jangkaan berkenaan dibuat berdasarkan pemantauan kementerian yang menunjukkan harga dan bekalan kedua-dua komoditi tersebut pada masa ini berada dalam keadaan stabil.
“Walaupun begitu, terdapat faktor tertentu seperti kegiatan penyeludupan yang berpotensi menjejaskan bekalan.
“Oleh itu, kita akan memastikan semua pihak berkaitan bersama kementerian sentiasa memantau dan mengambil tindakan bagi mengelakkan isu tersebut berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai langkah kementerian menstabilkan bekalan ayam di pasaran dan mengurangkan import bagi melindungi pendapatan penternak kecil dan sederhana.
Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) mengenai usaha membantu penternak kecil menghadapi kos makanan ternakan yang tinggi, Mohamad berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian telah membangunkan alternatif bahan mentah bagi ternakan.
Katanya, inisiatif tersebut termasuk penggunaan isi rong sawit, larva Black Soldier Fly, serta jagung bijirin tempatan sebagai makanan ayam.
Setakat ini, tambah beliau, 15 syarikat terlibat dalam penanaman jagung bijirin tempatan dengan kerajaan menyediakan sokongan awal dari segi kewangan dan logistik.
Bagi soalan asal Richard mengenai strategi kementerian membantu penternak beralih kepada reban tertutup, Mohamad menegaskan transformasi berkenaan bergantung kepada tahap kesiapsiagaan penternak dari segi infrastruktur dan logistik.
“Sehingga Disember 2025, sebanyak 19 permohonan pembiayaan subsektor ternakan telah diluluskan dengan jumlah RM62.7 juta. Namun, tiada subsidi disediakan khusus bagi proses transformasi ke reban tertutup,” katanya. – UTUSAN










