PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Keputusan itu dimaklumkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menerusi hantaran di Facebook.
“Alhamdulillah Kinabatangan dan Lamag kekal BN. Terima kasih semua,” tulisnya.
Difahamkan calon BN, Mohd. Naim Kurniawan Moktar memperoleh majoriti 12,426 undi di Parlimen Kinabatangan sementara Mohd. Ismail Ayob mendahului DUN Lamag dengan majoriti 3,689 undi.
Sebelum ini, kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon dalam PRK berkenaan sebagai menghormati legasi Allahyarham Bung Moktar. – UTUSAN










