FENOMENA menjadikan ibadah sebagai kandungan media sosial kini semakin menjadi-jadi apabila ada dalam kalangan umat Islam sewenangnya merakam solat, doa, sedekah, taubat malah zikir sebelum dipertontonkan kepada umum.
Trend itu turut menular di Tanah Suci Mekah apabila semakin ramai jemaah umrah dan haji dilihat gemar merakam video di hadapan Kaabah untuk dimuat naik ke platform media sosial masing-masing.
Persoalannya, adakah perbuatan sedemikian selari dengan tuntutan ibadah dalam Islam?
Penceramah bebas dan pengajar Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Ustazah Juariah Abu Bakar berkata, perbuatan itu adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila dikhuatiri mencetuskan sifat riak serta mengganggu kekhusyukan ibadah.
USTAZAH JUARIAH ABU BAKAR
Umur: 77
Pendidikan: Pondok Lanai
Jawatan: Pengajar Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Pokok Sena, Kedah dan penceramah bebas.
“Orang sekarang pelik-pelik. Di depan Kaabah pun boleh rakam video, ambil gambar untuk buat kandungan media sosial. Kita bimbang ibadah itu jatuh riak dan akhirnya hilang semua keberkatan.
“Kaabah adalah tempat suci. Datanglah untuk beribadat dan berdoalah dengan khusyuk. Insya- Allah, Tuhan menerima ibadah kita dan makbulkan doa-doa kita. Bukankah itu tujuan kita ke Mekah?” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pondok Derang, baru-baru ini.
Menurut beliau yang mendapat pendidikan awal di Pondok Lanai dan masih aktif berdakwah walaupun usia melebihi tujuh dekad itu, Islam mendidik umatnya supaya merendah diri, bukan menayang amalan demi perhatian manusia dan populariti untuk pujian.
“Kita akan jauh tersasar jika perkara seperti tontonan dan tanda like menjadi ‘raja’ dalam hidup. Kita beribadah untuk diterima oleh Allah, bukan untuk pujian manusia.
“Saya paling bimbang apabila ibadah itu dibuat semata-mata untuk kandungan media sosial, bukan sebagai amalan. Itu sudah melencong jauh. Apa pun amalan mesti dilakukan kerana Allah,” katanya yang cukup dikenali dalam kalangan muslimat menerusi kuliah agama berasaskan pengajian kitab Hidayatus Salikin.
Ustazah Juariah berkata, nilai ibadah dalam Islam tidak diukur melalui perbuatan zahir semata-mata, sebaliknya bergantung kepada niat yang tersembunyi di dalam hati demi mendapatkan reda dan rahmat Allah SWT.
“Kalau amalan itu disertai riak dan mengharapkan pujian manusia, ia boleh menjadi dosa. Al-Quran dan hadis sudah menjelaskan perkara ini. Hati manusia pula mudah berubah-ubah.
“Contohnya, apabila kita buat kandungan dan orang tidak suka lalu timbul rasa kecewa, itu sendiri petanda niat sudah tidak betul,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan umat Islam agar berani bermuhasabah dan tidak menjadikan media sosial sebagai keperluan hidup sehingga mengabaikan tuntutan agama.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan khususnya golongan wanita supaya memperkukuhkan ilmu fardhu ain dengan mendalami kitab-kitab warisan ulama seperti Hidayatus Salikin bagi membentuk peribadi mulia seiring cabaran dunia hari ini.
“Kalau tidak pandai membaca kitab dalam tulisan Jawi, carilah guru dan berguru. Ilmu agama ini membimbing kita ke jalan lurus. Dunia hari ini sangat mencabar, sebab itu iman mesti kuat,” katanya.-UTUSAN










