Maryam Al Khawla hembus nafas terakhir selepas 90 hari bertarung nyawa

Maryam Al Khawla hembus nafas terakhir selepas 90 hari bertarung nyawa

BAYI kedua daripada kembar tiga pasangan Mohd. Fikry dan Sabrina meninggal dunia pagi tadi selepas hampir tiga bulan berjuang sebagai bayi pramatang di Hospital Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bayi kedua daripada kembar tiga pasangan Mejar Ir Ts Mohd. Fikry Amri Abd. Halim, 41, dan Sabrina Hakiem Zaini, 41, meninggal dunia pagi tadi selepas hampir tiga bulan berjuang sebagai bayi pramatang di Hospital Melaka.

Mohd. Fikry berkata, anak perempuannya, Maryam Al Khawla menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.20 pagi, genap berusia tiga bulan.

“Dengan dukacita dimaklumkan, anak syurga kami, Maryam Al Khawla telah pergi menghadap Ilahi pada pukul 7.20 pagi di Hospital Melaka pada 24 Januari 2026.

“Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya menerusi pesanan WhatsApp kepada pemberita hari ini.

Sebelum itu, pada Khamis, beliau memaklumkan keadaan bayi berkenaan semakin kritikal apabila bacaan jaundis meningkat mendadak berbanding hari sebelumnya, selain mata kelihatan semakin kekuningan dan perut membesar.

Menurutnya, pihak perubatan menggunakan dos rendah ubat tidur, namun keadaan Khawla dilaporkan sangat lemah dan kurang aktif.

Dalam pada itu, Sabrina menerusi perkongsian di media sosial memaklumkan anaknya pergi dalam keadaan tenang tanpa lagi menanggung kesakitan.

“Alhamdulillah, anak mummy pergi dengan senyuman. Khawla sudah tidak rasa sakit lagi.

“Buat pertama kali mummy dapat sentuh Khawla tanpa sarung tangan dan buat pertama kali juga mummy dapat memeluknya,” tulisnya.

Beliau turut menzahirkan kesyukuran kerana diberi peluang menjaga bayi berkenaan selama tiga bulan.

“Al Khawla dan abang Al-Fateh, tunggulah mummy dan daddy di syurga ya.

“Terima kasih Allah kerana meminjamkan Maryam Al Khawla kepada mummy dan daddy selama tiga bulan,” katanya.

Jenazah bayi berkenaan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Pusara Abadi, Alor Gajah selepas solat Asar, sejurus selesai urusan solat jenazah di rumah keluarga.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata perempuan menerusi rawatan kesuburan in-vitro (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan oleh Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sebelum ini, kisah pasangan berkenaan turut meraih perhatian nasional susulan tragedi kematian anak lelaki mereka, Muhammad Al-Fateh Amri Mohd. Fikry Amri, ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, pada September 2024.

Tragedi tersebut mengundang simpati rakyat Malaysia apabila pasangan berkenaan kehilangan anak lelaki berusia lapan bulan selepas menantikan kehadiran cahaya mata selama 13 tahun. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×