RPTM 2026-2035 mengangkat karamah insaniah

RPTM 2026-2035 mengangkat karamah insaniah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCARAN Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan detik penting dalam sejarah pendidikan tinggi negara.

RPTM bukan sekadar dokumen dasar atau pelan pembangunan pendidikan tinggi tetapi sebuah manifestasi kesedaran nasional bahawa pendidikan tinggi mesti kembali berpaksikan kemanusiaan, nilai dan makna insan yang mengangkat pendidikan sebagai wahana pembinaan peradaban, bukan hanya sebagai alat penghasilan tenaga kerja.

Konsep penting berkait RPTM ialah karamah insaniah iaitu pengiktirafan terhadap maruah dan martabat manusia.

Dalam dunia yang semakin dipengaruhi keperluan pasaran dan persaingan ekonomi, pendidikan tinggi sering dilihat melalui sudut kebolehpasaran graduan. Walaupun penting, pendekatan ini tidak wajar mengecilkan peranan universiti hanya sebagai penyedia tenaga kerja, sehingga aspek adab, etika dan nilai kemanusiaan kurang diberi penekanan.

Para sarjana tempatan khasnya Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, sering menjadi rujukan mengenai pendidikan berasaskan adab. Syed Muhammad Naquib (1979) menyebutkan pendidikan ialah penyemaian dan penanaman adab.

Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil pula menggagaskan penyelesaian permasalahan ummah ditangani dengan pendidikan berciri Islami atas prinsip Islam menjadi rahmat buat seluruh ummah.

Tokoh-tokoh ini menjadi rujukan ramai pihak dalam menggagaskan nilai-nilai pendidikan yang syumul, berpaksikan prinsip kemanusiaan dan kesejahteraan untuk semua lapisan masyarakat.

Pemikiran tokoh-tokoh reformis ummah ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi asas pendidikan Malaysia sejak sekian lama. FPK menegaskan pembangunan insan secara seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

FPK dibentuk sewaktu Anwar sebagai Menteri Pendidikan semasa era 80-an. Kini, melalui RPTM dan kerangka Malaysia Madani, roh yang sama dihidupkan semula, dengan penekanan kepada nilai kemanusiaan, keadilan sosial, ihsan dan kesejahteraan bersama.

RPTM juga menegaskan universiti ialah tapak pembinaan maruah insan dan perpaduan nasional. Kampus bukan hanya medan ilmu tetapi ruang penyatuan masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang. Di sinilah pelajar belajar tentang hormat, empati, dialog dan tanggungjawab sosial. Pendidikan tinggi yang gagal memupuk perpaduan akan melahirkan generasi yang pintar tetapi terpisah jiwanya daripada realiti masyarakat.

PERUBAHAN STRUKTURAL
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut RPTM sebagai panduan strategik untuk menjayakan perubahan struktural universiti. Walaupun UTM berteraskan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (STEM), kami tidak melihat teknologi sebagai matlamat akhir.

Teknologi hanyalah alat sementara manusia tetap matlamatnya. Justeru, UTM mengangkat adab sebagai tunjang universiti dan menjadikannya atribut utama graduan. Kecekapan tanpa adab akan melahirkan kecerdasan yang kering nilai, manakala adab tanpa ilmu pula akan kehilangan daya saing. Keseimbangan inilah yang menjadi cita-cita UTM.

RPTM juga menuntut perubahan dalam kerangka kurikulum masa depan yang mesti bersifat fleksibel, modular, digital dan berdaya tindak balas pantas terhadap perubahan dunia.

Pembelajaran tidak lagi terikat kepada bilik kuliah dan sukatan pelajaran kaku tetapi perlu memberi ruang kepada pembelajaran sepanjang hayat, mikrokredensial rentas disiplin dan pembelajaran berasaskan masalah sebenar.

UTM telah dan akan terus memperkukuh ekosistem kurikulum yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan pendekatan hibrid agar graduan mampu menyesuaikan diri dalam dunia yang sentiasa berubah.

Dalam aspek penyelidikan pula, RPTM memperkenalkan paradigma penyelidikan berteraskan misi. Penyelidikan universiti tidak boleh lagi terhad kepada penerbitan dan penarafan universiti semata-mata tetapi mesti berpaksikan misi nasional dan keperluan masyarakat.

Penyelidikan harus menjawab persoalan sebenar rakyat tentang perubahan iklim, keselamatan makanan, tenaga lestari, kesihatan awam, transformasi digital dan kesejahteraan sosial.

UTM melihat penyelidikan sebagai tanggungjawab moral kepada negara dan manusia sejagat, bukan sekadar pencapaian akademik.

UTM kini berjaya menginstitusikan program Bangsa Johor Bahagia, yang diilhamkan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah selaku Canselor UTM. Baginda terlibat secara langsung dalam program ini dan membawa perubahan sosial kepada kumpulan penerima manfaat yang merupakan rakyat Johor dalam kategori B40.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut memberikan sokongan penuh kepada program berimpak tinggi ini.

 

 

REFORMASI PENDIDIKAN PRA UNIVERSITI DAN MATA PELAJARAN UMUM

Program pendidikan tingkatan 6 dan matrikulasi akan diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula 2027.

Kedua-dua program pra universiti harus dilihat sebagai laluan strategik pendidikan tinggi. Program ini mampu menjadi tapak pembinaan budaya akademik, pemikiran kritis dan kematangan intelektual yang kukuh sebelum pelajar melangkah ke alam universiti.

UTM menyokong usaha memperkukuh peranan program pra universiti sebagai sebahagian daripada rantaian pembinaan insan berilmu dan beradab.

Begitu juga dengan Mata Pelajaran Umum (MPU) di universiti khasnya pendidikan perlembagaan dan sejarah Malaysia yang diajar dalam bahasa Melayu. MPU bukan sekadar syarat kelulusan tetapi wahana utama pembinaan jati diri, kesedaran kenegaraan, pemikiran kritis dan kefahaman tentang nilai kemanusiaan serta peradaban.

KEBAJIKAN PELAJAR MANIFESTASI KARAMAH INSANIAH

Pendidikan yang berteraskan kemanusiaan tidak boleh membiarkan pelajar bergelut dengan tekanan emosi, masalah kewangan, perumahan dan kesihatan mental tanpa sokongan yang secukupnya.

RPTM dirangka dengan memberikan pendidikan percuma untuk semua pelajar dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan 10,000 pelajar daripada keluarga miskin. Sebanyak 5,000 unit penginapan pelajar turut disediakan.

 

REFORMASI TEKNOLOGI DAN KEJURUTERAAN

Dalam aspek teknologi dan kejuruteraan baharu, RPTM memberi peluang besar kepada universiti seperti UTM untuk memacu masa depan negara. Mandat penubuhan Fakulti AI pada 2024 menjadikan UTM peneraju dalam agenda AI.

Namun, AI di UTM tidak dilihat sebagai simbol kemajuan semata-mata tetapi sebagai alat untuk membina masyarakat yang lebih adil, efisien dan manusiawi.

Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar pernah menyebutkan teknologi khasnya AI seharusnya memperkasakan insan. AI sepatutnya berada di bawah bimbingan hikmah, nilai dan tujuan kemanusiaan.

UTM telah meletakkan tujuh bidang ilmu masa depan yang bersifat rentas disiplin khasnya teknologi dan kemanusiaan, iaitu Asas Sains, Teknologi dan Kejuruteraan, Kejuruteraan Metaverse dan Teknologi Termaju, Kecerdasan Buatan, Pendigitalan dan Teknologi Berpusatkan Manusia, Kesihatan Planetari dan Perubahan Iklim, Teknologi Keterjaminan Makanan, Tenaga dan Air, Persekitaran Alam Bina Lestari dan Sains Kognitifikasi.

RPTM 2026-2035 ialah seruan besar untuk mengembalikan pendidikan tinggi kepada roh asalnya iaitu membina manusia yang bermaruah, berilmu dan berperanan membina peradaban.

UTM mendukung penuh aspirasi ini dan akan terus menjajarkan pelan strateginya dengan RPTM, seterusnya melahirkan generasi pembina negara yang berakar pada makna karamah insaniah.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×