PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh komitmen bersama dalam membudayakan integriti serta mempertingkat kerjasama strategik ke arah pentadbiran yang bersih dan bebas rasuah.
Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat SPRM Selangor yang diketuai Pengarahnya, Mohd Azwan Ramli bersama barisan pegawai kanan ke Pejabat Menteri Besar Selangor, kelmarin.
Pertemuan itu turut menjadi platform perbincangan dan pertukaran pandangan berkaitan usaha meningkatkan kesedaran integriti, pelaksanaan program pencegahan rasuah serta penambahbaikan mekanisme governans yang lebih telus dan berakauntabiliti dalam pengurusan pentadbiran negeri.
Delegasi SPRM Selangor telah disambut oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, SPRM Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Menteri Besar Selangor atas kesudian menerima kunjungan hormat tersebut serta sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa integriti dan governans di negeri ini. – UTUSAN










