MELAKA: Para bilal dan penggali kubur di negeri ini bakal menerima imbuhan sekali bayar RM300 melalui peruntukan khusus sempena Ramadan bernilai RM224,400.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM9.3 juta untuk pelbagai program sepanjang Ramadan tahun ini dengan jumlah tertinggi RM6.6 juta disumbang kepada golongan asnaf, fakir dan miskin.
Katanya, ia turut melibatkan bantuan persediaan Ramadan RM4.1 juta, fidyah RM1.2 juta dan RM1.2 juta lagi bagi bantuan Syawal.
“Bagi ahli jawatankuasa masjid kariah, masjid kerajaan dan masjid institusi pula mendapat imbuhan sebanyak RM495,000 diberikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Sebanyak RM2.7 juta disumbangkan bagi program pengimarahan lebih 1,000 masjid dan surau di seluruh negeri.
“Bagi program ihya Ramadan dan semua aktiviti yang dilaksanakan di masjid serta surau pula mendapat sumbangan RM1.6 juta,” katanya selepas merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Melaka 1447H/2026 di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini, semalam.
Seramai 21 peserta tilawah iaitu 18 qari dan tiga qariah serta 25 peserta hafazan menyertai majlis yang berlangsung sehingga Sabtu ini.
Rahmad berkata, golongan mualaf pula menerima bantuan sebanyak RM1.1 juta melibatkan 2,150 penerima.
Katanya, bantuan utiliti masjid sebanyak RM286,500 disalurkan melalui MAIM manakala RM187,000 lagi melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). – UTUSAN










