PETALING JAYA: Usia enam tahun merupakan tempoh sesuai untuk murid memasuki tahun satu seiring dengan amalan sistem pendidikan di negara-negara maju dan keupayaan kanak-kanak masa kini.
Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, tahap kesiapsiagaan dan penguasaan ilmu kanak-kanak pada masa kini juga lebih tinggi berbanding generasi terdahulu sekali gus membolehkan mereka menerima pembelajaran formal pada usia lebih awal.
“Kanak-kanak kini boleh dianggap matang dan mampu menerima pengajaran baharu. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan situasi semasa.
“Dulu ada yang menangis dan enggan berpisah dengan ibu bapa bila di hantar ke sekolah, kini ia jarang berlaku.
“Ia menunjukkan pelajar bersedia mengikuti proses pembelajaran, selain mempunyai tahap penguasaan ilmu dan cara pemikiran lebih tinggi berbanding generasi terdahulu,” katanya.
Kelmarin, Kementerian Pendidikan (KPM) melaporkan, kanan-kanak yang masuk tahun satu pada usia enam tahun bagi sesi 2027 akan menamatkan pendidikan peringkat menengah pada usia 16 tahun.
Mengenai kekurangan bilik darjah, Alimuddin berkata, cabaran itu wujud, namun tidak semua sekolah berdepan masalah sama kerana masih terdapat institusi yang mempunyai kemudahan mencukupi.
Katanya, sebarang kekangan peringkat awal pelaksanaan, perkara biasa yang boleh ditangani melalui perancangan dan penyelarasan berperingkat oleh pihak berkaitan.
“Masih ada masa sehingga tahun hadapan untuk pihak berkaitan membuat perancangan sewajarnya.
“Pihak pengurusan sekolah juga boleh menyesuaikan penempatan murid-murid baharu agar pelaksanaan dasar berjalan dengan lebih teratur,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, kewujudan dua kohort umur serentak iaitu murid berusia enam dan tujuh tahun berpotensi menggandakan bilangan murid serta kelas di sekolah rendah.
Pertambahan murid secara langsung meningkatkan keperluan tenaga pengajar lebih besar dan perlu disediakan secara berterusan sehingga kohort berkenaan menamatkan persekolahan menengah.
“Beban tugas pendidik dapat dielakkan sekiranya pertambahan kelas disertai dengan penambahan tenaga pengajar yang mencukupi.
“Jika sebelum ini lima kelas memerlukan kira-kira 7.5 orang guru, kewujudan dua kohort umur, jumlah keperluan guru boleh meningkat sehingga 15 orang dan keperluan ini perlu dipenuhi sehingga tahun 2037.
“Kegagalan menambah bilangan guru selari dengan pertambahan kelas, menyebabkan kelas menjadi padat dan menyukarkan guru memberi tumpuan kepada murid khususnya di peringkat awal persekolahan,” katanya. – UTUSAN










