SHAH ALAM: Dua lelaki dan wanita maut akibat dirempuh sebuah kereta Mercedes dalam kejadian kemalangan dekat Kilometer 11.9 Lebuhraya Persekutuan menghala ke arah Klang, awal pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Anak Embol berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu pemandu Mercedes terbabit seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai gagal mengelak mangsa di laluan tersebut.
“Kedua-dua lelaki dan wanita berusia 50-an itu sebelum itu terlibat kemalangan apabila kereta Honda HRV yang dinaiki mereka melanggar bahagian belakang kereta Proton Suprima dipandu seorang wanita berusia 20-an di lorong paling kanan.
“Berikutan kejadian itu, ketiga-tiga mereka berhenti dan keluar dari kenderaan sebelum Proton Suprima itu dan mangsa dirempuh oleh pemandu Mercedes,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, akibat kemalangan tersebut kedua-dua mangsa lelaki dan wanita itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian badan dan kepala berpunca daripada kemalangan kenderaan.
Bagaimanapun, Ramsay mengesahkan kedua-dua mangsa itu bukanlah pasangan suami isteri seperti tular dalam media sosial.
Sementara wanita pemandu Proton Suprima dan lelaki pemandu Mercedes mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Shah Alam.
“Pemandu Mercedes mengalami patah kaki. Sampel darah dan air kencingnya juga diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mana-mana saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berada di atas jalan, terutamanya di lorong paling laju atau mencari tempat yang selamat untuk berhenti jika berlaku kemalangan di lebuh raya atau jalan-jalan utama. – UTUSAN











