PETALING JAYA: Dua pegawai kanan sebuah media tempatan berbahasa Cina dirakam keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Ia bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang memaparkan terjemahan salah terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kedua-dua individu itu ialah ketua editor dan subeditor media itu dan mereka hadir ke Bukit Aman kira-kira pukul 1 petang, hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan susulan hantaran yang dikesan pada 19 Januari lalu melalui akaun Facebook rasmi media tersebut yang memaparkan penterjemahan tidak tepat terhadap ucapan baginda ketika istiadat berkenaan.
“Susulan itu, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini sementara PDRM melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.
Media semalam melaporkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mengesahkan telah membuat laporan polis terhadap media tempatan berbahasa Cina, susulan dakwaan media itu menyiarkan thumbnail atau tajuk poster yang didakwa memesongkan titah Sultan Ibrahim berhubung kedudukan Bahasa Melayu.
Firdaus dilaporkan berkata, thumbnail yang dimuat naik itu menulis ayat ‘tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia’, sedangkan titah Yang di-Pertuan Agong yang sebenar menurutnya ialah ‘tidak boleh terima bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia.’
Beliau menegaskan, perbezaan antara dua frasa itu adalah besar kerana membawa maksud yang jauh berbeza serta boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat..- UTUSAN








