PETALING JAYA: Kanak-kanak yang mengikuti kemasukan awal ke Tahun Satu pada usia enam tahun bagi sesi 2027 dijadual menamatkan pendidikan peringkat menengah atas lebih awal iaitu pada usia 16 tahun.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, struktur pendidikan rendah anak-anak yang memulakan Tahun Satu pada umur enam tahun tidak berubah sebaliknya kekal seperti sedia kala iaitu enam tahun pembelajaran.
Beliau berkata, struktur pendidikan rendah sedia ada adalah selama enam tahun manakala di peringkat menengah selama lima tahun dan tamat peringkat menengah atas pada umur 16 tahun.
Katanya, inisiatif mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun Satu bukan suatu perkara baharu sebaliknya telah dilaksanakan di banyak negara bagi membolehkan kanak-kanak menyertai sektor pekerjaan pada usia lebih muda di samping menangani isu yang terkait dengan negara menua seperti Malaysia.
“Walaupun begitu, inisiatif ini tidak akan dilaksanakan secara terburu-buru. Kementerian Pendidikan memberikan pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak yang bersedia mengikuti persekolahan peringkat rendah lebih awal.
“Kesediaan anak-anak merujuk kepada keputusan saringan diagnostik yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) di bawah Kementerian Pendidikan antaranya kemasukan ke tahun satu persekolahan pada usia enam tahun.
Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dilancarkan bersama Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 di bawah kerangka menyeluruh RPN untuk tempoh 10 tahun.
Fadhlina berkata, kementerian juga sedang menambah kelas pra-sekolah di seluruh negara
“Perancangan turut dilakukan untuk menyediakan bilik darjah tambahan dan prasarana lain secara bersasar. Keperluan tambahan guru juga sedang ditangani secara proaktif,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan juga berkongsikan soalan lazim berhubung pelan tersebut di mana kemasukan ke Tahun Satu pada umur tujuh tahun kekal sebagai laluan standard dan majoriti murid akan mengikutinya.
Katanya, kemasukan awal pada umur enam tahun (5+) adalah pilihan secara sukarela tertakluk kepada kesediaan kanak-kanak dan pilihan ibu bapa tanpa paksaan kepada kedua-dua pihak, bukannya secara automatik dan tidak sewenang-wenangnya.
“Kesediaan kanak-kanak merujuk kepada kanak-kanak yang telah mengikuti prasekolah pada umur lima tahun (4+) dan lulus saringan diagnostik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
“Saringan ini bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan pembelajaran dan kebolehsuaian kanak-kanak terhadap pembelajaran formal,” katanya.
Kementerian Pendidikan berkata, pembelajaran asas kanak-kanak tidak akan terjejas kerana pihaknya menyediakan Kurikulum Persekolahan 2027 bagi memastikan dua perkara dapat dipenuhi.
“Ia bagi memastikan asas literasi, numerasi dan kemahiran pembelajaran murid tidak terjejas dan pembelajaran disesuaikan dengan tahap kognitif masing-masing.
“Kurikulum ini memastikan semua murid termasuk yang memasuki Tahun Satu pada umur enam tahun berupaya menguasai kemahiran asas sebelum meneruskan pembelajaran ke tahap seterusnya,” katanya. – UTUSAN








