PETALING JAYA: Malaysia kekal di kedudukan ke-121 dunia dalam kemas kini ranking yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kedudukan itu menyamai kedudukan dalam kemas kini yang dilakukan badan induk bola sepak dunia itu pada 22 Disember lalu.
“Kemas kini terbaharu ranking FIFA hari ini (semalam), Malaysia di tangga 121 dunia, kekal sama seperti kedudukan pada kemas kini terdahulu, 22 Disember 2025,” kata FAM.
Kemas kini terbaharu itu juga menyaksikan skuad Harimau Malaya masih berada satu anak tangga di atas seteru serantau, Indonesia yang turut kekal berada di kedudukan ke-122.
Thailand yang berada di kedudukan ke-96 dunia mengekalkan kedudukan mereka selaku pasukan No.1 Asia Tenggara, manakala Vietnam jatuh satu anak tangga ke kedudukan ke-108 dunia.
Filipina dan Singapura pula masing-masing kekal sebagai pasukan keempat dan kelima terbaik di ASEAN dengan menghuni kedudukan ke-136 dan ke-148 dunia.
Pada kemas kini ranking FIFA bulan lalu, Harimau Malaya yang dikendalikan Peter Cklamovski jatuh lima anak tangga apabila menghuni kedudukan ke-121 dunia.
Ia susulan keputusan FIFA membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan Malaysia berdepan Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan lawan diberikan kemenangan 3-0.
Hukuman berkenaan dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas Harimau Malaya didapati menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan berkenaan.
Hukuman sama dijangka diambil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membabitkan aksi Harimau Malaya menentang Nepal dan Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027 sebelum ini.
Pada September tahun lalu, FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel atas dakwaan pemalsuan dokumen. – UTUSAN










