KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat sejarah apabila jumlah perdagangan negara mencapai RM3 trilion bagi kali pertama pada 2025 sekali gus menunjukkan prestasi ekonomi yang kukuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu hasil daripada hubungan perdagangan yang baik dengan rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China, selain kejayaan meneroka pasaran baharu bagi mengukuhkan aliran perdagangan negara.
“Sejarah tercipta dengan jumlah perdagangan untuk 2025 mencecah RM3 trilion buat kali pertama. Ini menunjukkan perlunya penjelasan dasar, disiplin serta tata kelola yang baik, selain menerobos pasaran baharu,” katanya sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai langkah kerajaan menghadapi ketegangan global dan geopolitik yang berpotensi menjejaskan perdagangan dan pelaburan negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara faktor menyumbang kepada prestasi ekonomi 2025 termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 peratus yang melepasi unjuran antara 4 hingga 4.8 peratus.
Katanya, ringgit turut mencatat prestasi tertinggi sejak lima tahun iaitu RM4.05 berbanding dolar AS, manakala Indeks Bursa Malaysia mencapai 1,700 mata, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
“Pada masa sama, kadar pengangguran pada November 2025 turun kepada 2.9 peratus iaitu yang terendah dalam tempoh 11 tahun.
“Alhamdulillah, pencapaian ini hasil daripada kerjasama semua pihak bagi menjamin kestabilan politik, kesinambungan dasar, usaha gigih perkhidmatan awam, peniaga dan pelabur.
“Hala tuju negara yang jelas dalam Pelan Induk Perindustrian, transformasi digital, peralihan tenaga dan pembaharuan dasar juga membina keyakinan pelabur,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, pelaksanaan Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal berjaya menurunkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 3.8 peratus pada 2025.
Katanya, penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95 juga dapat mengelakkan ketirisan, sekali gus menjimatkan kira-kira RM15.5 bilion serta memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Dasar fiskal dan ikhtiar kerajaan memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat. Angka ekonomi yang menarik tidak bermakna tanpa diiringi program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kenaikan gaji minimum, peningkatan gaji pekerja dan bantuan persekolahan.
“Dasar ini tidak terikat kepada cadangan badan antarabangsa atau pakar ekonomi termasuk Bank Dunia, sebaliknya fokus kepada keperluan rakyat dan pertumbuhan mampan,” katanya. – UTUSAN











