Najib, Tommy setuju selesai tuntutan saman

Najib, Tommy setuju selesai tuntutan saman

MOHD. Najib Tun Razak meninggalkan kamar Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam selepas beliau mencapai penyelesaian bersama dalam tuntutan samannya dengan Tommy Thomas berhubung penerbitan buku My Story: The Justice in The Wilderness.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mencapai persetujuan penyelesaian bersama kes saman beliau terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung penerbitan buku My Story: Justice in The Wilderness.

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Khadijah Idris selepas suatu kenyataan penyelesaian bersama dibacakan oleh peguam Tommy, Alan Adrian Gomez.

Menurut Alan menerusi kenyataan yang disediakan oleh Tommy dan penerbit buku Gerak Budaya Enterprise Sdn. Bhd. (GB), ia menjadi asas kepada persetujuan yang direkodkan oleh mahkamah.

“Saya (Tommy) berpegang kepada kenyataan dan pandangan yang saya nyatakan dalam Bab 42 buku saya, My Story: Justice in the Wilderness, bahawa perakuan berkanun Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri adalah selari.

“Bagaimanapun, saya mene­rima hakikat sejak penerbitan buku itu pada tahun 2021, saya tidak menyedari sebarang bukti yang mengaitkan Mohd. Najib dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

“Sungguhpun saya difahamkan, ada siasatan-siasatan lanjut semenjak penerbitan buku saya. Dalam keadaan itu, saya tidak membantah penarikan balik saman sivil berkenaan terhadap saya dan penerbit, tanpa sebarang perintah berhubung kos.

“Sekiranya buku saya di­cetak atau diterbitkan semula pada masa hadapan, kenyataan (pertikaian) di atas akan dimasukkan dalam buku berkenaan pada halaman (404 hingga 405) yang sama dengan penerbitan kenyataan yang dipertikaikan,” katanya semalam.

Terdahulu, peguam mewakili Mohd. Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, kedua-dua pihak mencapai satu penyelesaian muktamad yang menamatkan tindakan saman tersebut.

Beliau berkata, kenyataan bersama di mahkamah terbuka itu disediakan oleh Tommy dan GB sebagai defendan pertama dan kedua dalam saman berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan, bekas Presiden UMNO itu juga gembira dengan penyelesaian tersebut.

“Sudah bertahun-tahun beliau kecewa sebab tidak ada ke­terangan langsung, sebaliknya hanya banyak khabar angin yang disebarkan secara salah berkenaan dakwaan mengatakan dia terlibat dengan pembunuhan Altantuya.

“Beliau dari awal lagi bukan perlukan atau mengutamakan supaya beliau diberi pampasan. Itu tidak mustahak baginya. Beliau hanya hendak menegakkan reputasinya dan itu tercapai pada hari ini,” ujarnya.

Mohd. Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan itu pada Oktober 2021 mengemukakan saman terhadap Tommy mengenai memoirnya bertajuk My Story: Justice in The Wilderness berhubung kenyataan fitnah yang dibuat di dalam buku itu mengaitkannya dalam pembunuhan model Mongolia dalam Bab 42.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×