Penganjuran Gema Raya Putrajaya 2026 dijangka menjadi tarikan baharu kepada pengunjung tempatan dan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia (TMT) 2026.
Festival Ramadan dan raya berskala besar selama 33 hari itu berlangsung dari 15 Februari hingga 19 Mac depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd, Rayme Zainal berkata, pemilihan PICC sebagai lokasi adalah strategik kerana kedudukannya di puncak tertinggi Putrajaya serta kemudahan bertaraf antarabangsa dan selesa untuk pengunjung.
“Gema Raya Putrajaya 2026 menggabungkan pelbagai elemen termasuk keusahawanan, seni dan budaya, program kerohanian serta inisiatif kebajikan komuniti, sekali gus menawarkan pengalaman Ramadan dan persiapan Aidilfitri yang lebih menyeluruh.
“Festival ini akan menghimpunkan hampir 300 vendor pelbagai kategori, dengan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung sepanjang penganjurannya,” katanya baru-baru ini.
Menurut Raymee lagi, selain menjadi platform kepada peniaga dan usahawan tempatan, acara ini dapat mengangkat Putrajaya sebagai destinasi utama Ramadan dan raya, sejajar dengan usaha memperkukuhkan sektor pelancongan serta ekonomi kreatif negara.











