PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertama 2026 pada Khamis ini.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee Shen Pin berkata, pihaknya tidak menjangkakan keperluan untuk BNM menyemak semula OPR buat masa ini.
“Saya rasa kadar ini akan kekal untuk separuh pertama tahun ini. Tidak seperti Singapura, kita tidak mengikut Amerika Syarikat (AS) sepenuhnya apabila dalam pergerakan kadar faedah.
“Jika ada, mungkin akan ada satu pemotongan pada tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Sunway University, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat pada 5.7 peratus menunjukkan Malaysia asas yang kuat meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.
Katanya, walaupun pertumbuhan pada suku sebelumnya melebihi jangkaan, tekanan daripada faktor luaran mula kelihatan dan ketidaktentuan dijangka terus berlarutan dan berpotensi menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih sederhana dalam suku-suku akan datang.
“Inflasi kekal terkawal di bawah paras dua peratus dan dijangka terus berada pada tahap yang sederhana dalam tempoh terdekat.
“Dalam usaha mengimbangi antara pertumbuhan dan inflasi, saya menjangkakan OPR akan dikekalkan buat masa ini, sementara menunggu hala tuju pertumbuhan ekonomi dan inflasi yang lebih jelas.
“Tahap OPR semasa masih bersifat menyokong pertumbuhan ekonomi walaupun berlaku kenaikan sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata, sekiranya tiada kejutan luar jangka, OPR dijangka kekal stabil pada 2.75 peratus pada tahun ini.
“Keputusan dasar seterusnya akan banyak bergantung kepada keadaan global, termasuk perkembangan geopolitik dan ketidaktentuan dasar perdagangan AS, khususnya berkaitan tarif.
“Risiko kelembapan ekonomi global semakin meningkat, namun Malaysia berada dalam kedudukan yang relatif kukuh, disokong oleh prestasi pertumbuhan yang mantap pada suku keempat, sekali gus membolehkan momentum ekonomi terus berterusan,” ujarnya. – UTUSAN










