PETALING JAYA: “Kira-kira 500 jemaah solatkan jenazah, saya cemburu dengan kamu..”
Itu luahan suami kepada Nadia Kasumawati Abdul Karim iaitu Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah selepas solat jenazah untuk pelakon itu selesai di Masjid Althaniyan, Jeddah, Arab Saudi.
Beliau menyifatkan pemergian isterinya sebagai fasa terakhir sebelum menuju ke ‘istana baharu’ sambil mengakui perasaan cemburu melihat penghormatan terakhir yang diberikan kepada arwah.
“Kira-kira 500 jemaah menunaikan solat jenazah buatmu selepas Subuh. Sekiranya saya nanti mendapat separuh daripada jumlah itu, ia sudah memadai.
“Walaupun saya gembira untukmu, kesedihan masih menyelubungi diri kerana kita semakin hampir ke rumah baharumu,” kongsinya melalui Facebook miliknya hari ini.
Beliau turut menyifatkan Allahyarham layak mendapat ketenangan itu setelah bekerja keras, berkorban dengan keringat serta air mata demi dirinya dan anak-anak.
“Kamu berhak untuk berehat, setelah sekian lama mencurahkan kasih sayang dan kebaikan kepada keluarga, sahabat serta jiran-jiran.
“Sekarang, biarlah Allah melayani dan membalas segala kebaikan, kasih dan sayang yang telah engkau curahkan kepada saya, anak-anak, keluarga, rakan dan jiran selama ini. Amin.
“Malah, ‘rumah baru’ awak lebih sejuk kerana 22 darjah Celsius. Kamu selalu cakap pada Sarah (anak) cuaca di Malaysia terlalu panas,” katanya.
Media semalam melaporkan Prof. Dr. Muhammad Kamarul berlepas ke Jeddah petang semalam bersama anak perempuannya bagi menguruskan jenazah Nadia yang berada di Hospital King Fahad.
Nadia Kesuma, 50, yang juga membintangi filem Syaitan Munafik dikatakan meninggal dunia pada Khamis lalu, iaitu hari sama beliau dilaporkan hilang di Jeddah.
Pada 15 Januari lau, pelakon itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk menunaikan umrah dan ziarah yang turut melibatkan destinasi termasuk London dan Paris, anjuran sebuah agensi pelancongan tempatan.
Allahyarham dijadualkan meneruskan penerbangan ke London selepas transit selama beberapa jam di Jeddah, namun tidak muncul ketika jemaah lain berkumpul untuk meneruskan perjalanan.
Bagaimanapun, pada Sabtu, suami Allahyarham mengesahkan pemergian isterinya akibat sakit jantung.– UTUSAN










