DUNIA hari ini semakin ‘rata’ akibat kemajuan teknologi, liberalisasi ekonomi dan penyatuan sistem global.
Halangan geografi yang dulunya membatasi hubungan antara negara kini menjadi semakin mudah dilalui dan lebih murah. Fenomena ini memberi peluang luas, khususnya dalam sektor pelancongan, untuk dieksplorasi oleh negara-negara ASEAN termasuk Malaysia.
Sepanjang 2025, Airport Council International World melaporkan seramai 9.8 bilion pergerakan udara global, manakala di ASEAN, jumlah ini mencecah 400 juta.
Angka-angka ini jelas menunjukkan mobiliti serantau bukan sahaja trend, malah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi. Malaysia perlu melihat trend ini sebagai peluang untuk menarik pelawat dari pasaran yang lebih besar dan memperkukuh kedudukan negara di persada antarabangsa.
Dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN baru-baru ini, Menteri Luar menekankan kepentingan kesalinghubungan serantau serta pembangunan ekonomi berteraskan perdagangan, pelaburan dan daya tahan digital. Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN 2025 menjadi panduan strategik dalam mencapai matlamat ini, menekankan mobiliti rentas sempadan adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau.
Namun, pengurusan mobiliti tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pegawai bertugas dan kaedah tradisional semata-mata.
Teknologi terkini seperti sistem automasi, biometrik dan analitik risiko kini menjadi penentu kecekapan pintu masuk antarabangsa. Sistem e-gate dan pra-ketibaan digital bukan sekadar alat memudahkan pengembara tetapi telah menjadi infrastruktur ekonomi strategik.
Dalam konteks ini, perancangan Jabatan Imigresen Malaysia untuk memasang 635 unit autogate di 125 pintu masuk antarabangsa pada 2026 hingga 2028 adalah langkah strategik yang penting.
Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan autogate pada 2007, awalnya untuk warganegara sendiri. Kini, sistem ini telah dikembangkan untuk pelawat dari 63 negara dan beberapa kali dinaiktaraf agar selaras dengan teknologi semasa.
Perbandingan dengan negara ASEAN lain menunjukkan perbezaan tahap kesiapsiagaan. Singapura misalnya membuka e-gate kepada semua pelawat asing tanpa pra-pendaftaran, disokong oleh sistem biometrik dan analitik data yang mantap.
Indonesia dan Thailand kini sedang mempercepat penggunaan e-gate di lapangan terbang utama, manakala Vietnam dan Filipina masih mengehadkan sistem ini kepada warganegara tertentu sahaja. Perbezaan ini mencerminkan sejauh mana negara membuat pelaburan dalam infrastruktur digital dan pengurusan risiko.
Mengapa autogate menjadi keputusan kritikal? Otomasi pintu masuk bukan sekadar soal keselamatan tetapi ada hubungan langsung dengan pembangunan ekonomi.
Pelancong berpendapatan tinggi memilih destinasi berdasarkan kecekapan imigresen manakala pelawat perniagaan mengutamakan sistem yang konsisten dan boleh dipercayai bagi memastikan kelancaran pelaburan.
Mobiliti bakat seperti pelajar pasca ijazah, pakar industri, pencipta kandungan dan nomad digital turut menilai kemudahan ini dalam membuat keputusan.
Justeru, autogate bukan sekadar kos tetapi pelaburan strategik jangka panjang. Dengan 635 autogate di 125 pintu masuk, Malaysia memperkukuh pengurusan sempadan yang cekap, selamat dan pintar.
Dalam landskap ASEAN yang kompetitif, negara yang mampu mengurus mobiliti dengan baik akan menikmati kelebihan jangka panjang. Malaysia kini berada di persimpangan, sama ada sekadar mengikuti arus atau mendahului dalam membentuk masa hadapan mobiliti serantau. Pilihan jelas, Malaysia memilih untuk mendahului.-UTUSAN
NORLIZAWATY ABDU SAMAD
Pengarah,
Bahagian Dasar & Perancangan Strategik,
Jabatan Imigresen Malaysia










