Lelaki tukar pengakuan tidak bersalah beli barang kemas guna wang palsu

Lelaki tukar pengakuan tidak bersalah beli barang kemas guna wang palsu

AHMAD Faisal Mohd. Sharani (depan) semasa dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIIRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki menukar pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini dan memohon dibicarakan atas pertuduhan menggunakan wang palsu, hujung tahun lalu.

Ahmad Faisal Mohd. Sharani, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Faisal didakwa melakukan percubaan menggunakan sebanyak 359 keping wang palsu bernilai RM50 yang mempunyai nombor siri sama di sebuah kedai Emas Lelong Maya, Jalan Hiliran, Chabang Tiga, Kuala Terengganu pada 18 Disember 2025, kira-kira pukul 3.10 petang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pada 5 Januari lalu, tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan mahkamah menetapkan hari ini sebagai tarikh pendengaran kes serta hukuman.

Namun, pada prosiding hari ini, Ahmad Faisal menukar pengakuannya kepada tidak bersalah dan memohon agar kes tersebut dibicarakan. Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hisham Hashim.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh penyerahan dokumen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×