PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai Iqbal dipercayai mengaut keuntungan sehingga RM1.5 juta daripada hasil bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap warga asing yang diseludup masuk ke negara ini melalui laluan tikus.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mendapati sindiket haram itu aktif beroperasi sejak awal 2024 dan mempunyai rangkaian di negara asal dengan dalang utama warga Bangladesh yang dikenali sebagai Iqbal dan dipercayai beroperasi dari Thailand.
Beliau berkata, premis berkenaan terletak di lokasi terpencil di kawasan kampung di Kelantan yang sukar dikesan bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain dijadikan markas transit bagi menempatkan PATI yang menyeludup masuk.
“Seramai 13 warga asing termasuk seorang berperanan sebagai penjaga ditahan Imigresen dipercayai terbabit sindiket penyeludupan migran dikenali Iqbal yang menjadikan sebuah premis terpencil sehingga mampu meraih keuntungan.
“Sindiket mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap individu. Keuntungan keseluruhan yang diraih oleh sindiket ini dianggarkan mencecah RM1.5 juta hasil daripada aktiviti haram itu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Zakaria berkata, sindiket itu tumpas dalam serbuan dijalankan pegawai Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kelantan.
“Hasil serbuan membawa kepada penahanan seramai 12 warga Bangladesh iaitu 11 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun.
“Turut ditahan, seorang lelaki Myanmar etnik Rohingya berusia 27 tahun yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan itu,” katanya.
Zakaria berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik premis warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan pihak sindiket dengan menyewakan serta membenarkan premisnya dijadikan pusat transit aktiviti penyeludupan migran.
“Individu berkenaan akan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].
“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan, atau pemilik premis yang menggaji, melindungi, atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya. – UTUSAN










