Jemaah umrah terkandas bukan lagi kes terpencil

Jemaah umrah terkandas bukan lagi kes terpencil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 36 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Arab Saudi mencetuskan kebimbangan masyarakat serta menguji keutuhan pengurusan ibadah umat Islam.

Perhatian umum tertumpu apabila laporan media mendedahkan jemaah terbabit tidak memiliki tiket penerbangan pulang walaupun tempoh ibadah telah tamat.

Reaksi pihak berautoriti hadir apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan keperluan penelitian menyeluruh terhadap kes tersebut sebelum tindakan diambil kerana isu berkenaan melibatkan pelbagai aspek dan kepentingan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kenyataan itu menggambarkan keseriusan kerajaan menilai fakta, kebajikan jemaah serta liabiliti pihak terlibat, sambil memberi isyarat bahawa sebarang penyelesaian perlu berpaksikan keadilan dan ketelusan.

PEMBAHARUAN undang-undang, pengukuhan penguatkuasaan dan pemerkasaan tadbir urus industri umrah wajar dilaksanakan secara serius.

Realiti yang terserlah menunjukkan isu terkandas bukan kejadian terpencil. Beberapa tahun kebelakangan menyaksikan pengulangan kes hampir serupa melibatkan kegagalan agensi umrah dan pelancongan memenuhi janji pakej umrah.

Kelemahan penguatkuasaan serta kecenderungan kes diklasifikasikan sebagai pertikaian sivil, khususnya pelanggaran kontrak, sehingga keseriusan penipuan gagal dizahirkan melalui hukuman yang memberi kesan pencegahan.

Natijahnya, sebahagian syarikat terus berani mengambil risiko kerana implikasi undang-undang dianggap ringan berbanding keuntungan jangka pendek.

Terdapat beberapa perspektif yang boleh diperhatikan dan dinilai dalam memastikan isu seumpama ini tidak berulang kembali pada masa akan datang.

Pertama, perspektif Islam menilai ibadah umrah sebagai amanah besar yang menuntut tanggungjawab tinggi. Setiap urusan berkaitan perjalanan ibadah tergolong sebagai kontrak muamalat yang wajib dipatuhi.

Prinsip asas syariah menegaskan kewajipan menunaikan janji serta larangan keras terhadap penipuan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, penuhilah segala perjanjian…” (Surah al-Ma’idah: 1).

Ayat tersebut meletakkan tanggungjawab kontrak pada kedudukan yang mulia serta mengikat, khususnya apabila melibatkan ibadah dan kebajikan manusia.

Selain itu, Islam mengharamkan sebarang bentuk gharar dan khianat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menipu, maka bukan daripada golongan kami” (Riwayat Muslim).

Hadis tersebut memberi amaran jelas terhadap amalan memperdaya pelanggan, apatah lagi jemaah yang berada jauh dari tanah air dan bergantung sepenuhnya kepada pengurusan agensi.

Kegagalan menyediakan tiket pulang atau penginapan mencukupi mencerminkan pelanggaran amanah serta pencabulan hak jemaah.

Kedua, perspektif maqasid syariah menekankan pemeliharaan nyawa, akal, harta dan maruah sebagai teras utama. Jemaah yang terkandas terdedah kepada tekanan emosi, risiko keselamatan serta beban kewangan tambahan.

Setiap risiko tersebut bercanggah dengan tujuan syariah yang menuntut kemaslahatan dan menolak kemudaratan (jalb al maslahah wa daf‘u al-mafsadah).

Kaedah fiqh menyatakan: “Kemudaratan hendaklah dihilangkan” (al-darar yuzal). Prinsip ini menuntut campur tangan pantas pihak berwajib serta pembaikan sistemik bagi mengelakkan mudarat berulang.

Ketiga, perspektif tadbir urus pula menilai industri umrah memerlukan piawaian lebih ketat merangkumi pelesenan, jaminan kewangan dan pemantauan berterusan. Pendekatan pentadbiran yang hanya bertindak selepas aduan terbukti tidak mencukupi.

Islam menganjurkan konsep ‘hisbah’ yang menekankan pengawasan proaktif bagi mencegah kezaliman sebelum berlaku. Pelaksanaan jaminan kewangan wajib atau takaful (insurans patuh syariah) boleh menjadi mekanisme melindungi jemaah sekiranya agensi gagal melaksanakan tanggungjawab.

Keempat, perspektif perundangan juga wajar diteliti semula. Pengkelasan kes sebagai tuntutan sivil semata-mata mengecilkan dimensi jenayah penipuan.

Perspektif fiqh jinayah menilai penipuan terancang sebagai kesalahan berat kerana melibatkan pemangsaan dan penganiayaan.

Hukuman bersifat ta’zir boleh dikenakan oleh pihak berautoriti bagi memberi pengajaran serta mencegah pengulangan. Pendekatan ini selari dengan konsep siyasah syar’iyyah yang memberi ruang kepada pemerintah menggubal dasar demi maslahah umum.

Selanjutnya, tanggungjawab moral masyarakat turut memainkan peranan. Pemilihan agensi umrah perlu berpaksikan penelitian, semakan rekod dan rujukan berautoriti. Islam menggalakkan sikap ‘tabayyun’ bagi mengelakkan mudarat akibat kealpaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah…” (Surah al-Hujurat: 6). Prinsip ini relevan pada era pemasaran digital yang sarat janji manis serta promosi agresif.

Selain itu, peranan media juga signifikan sebagai pemangkin akauntabiliti. Pendedahan berfakta mendorong tindakan pantas pihak berwajib serta memberi tekanan moral kepada agensi terlibat.

Namun, etika pemberitaan perlu dijaga supaya tidak menambah beban psikologi jemaah. Islam menuntut keseimbangan antara menegakkan kebenaran dan memelihara maruah insan.

Demikianlah, isu 36 jemaah umrah terkandas menuntut penyelesaian menyeluruh berteraskan prinsip amanah, keadilan dan pencegahan. Tindakan pantas pihak berautoriti penting bagi melindungi kebajikan jemaah serta memulihkan kepercayaan masyarakat.

Pembaharuan undang-undang, pengukuhan penguatkuasaan dan pemerkasaan tadbir urus industri umrah wajar dilaksanakan secara serius. Perspektif Islam menegaskan bahawa ibadah tidak boleh dipisahkan daripada etika dan keadilan.

Setiap kecuaian terhadap amanah ibadah membawa implikasi dunia dan akhirat. Kesedaran kolektif serta komitmen bersepadu mampu memastikan perjalanan ibadah umrah berlangsung aman, bermaruah dan selari tuntutan syariah. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dr. Nik Airin Aqmar Nik Azhar ialah pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini