WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berikrar meningkatkan tarif import terhadap sekutu Eropah sehingga AS dibenarkan membeli Greenland, sekali gus meningkatkan ketegangan mengenai masa depan pulau Artik milik Denmark itu.
Menerusi hantaran di Truth Social, Trump berkata, tarif import tambahan sebanyak 10 peratus akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ke atas barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, Belanda, Finland dan Great Britain, kesemuanya negara yang sudah tertakluk kepada tarif dikenakan sebelum ini.
Menurut Trump, kadar tarif itu akan dinaikkan kepada 25 peratus mulai 1 Jun dan akan diteruskan sehingga satu perjanjian dicapai bagi membolehkan AS membeli Greenland.
Trump berulang kali menegaskan beliau tidak akan berkompromi selain memiliki Greenland sepenuhnya, walaupun wilayah autonomi Denmark itu dengan tegas menyatakan pulau berkenaan bukan untuk dijual dan tidak berhasrat menjadi sebahagian daripada AS.
Tinjauan Reuters/Ipsos ke atas penduduk AS minggu ini mendapati kurang daripada satu daripada lima responden menyokong idea memperoleh Greenland.
Trump turut menegaskan Greenland penting kepada keselamatan negaranya berikutan kedudukan strategik serta kekayaan sumber mineral dan tidak menolak kemungkinan penggunaan kekerasan untuk mengambil alih pulau tersebut.
Susulan itu, beberapa negara Eropah minggu ini menghantar anggota tentera ke Greenland atas permintaan Denmark.
“Negara-negara ini sedang bermain permainan sangat berbahaya, telah meletakkan tahap risiko yang tidak boleh diterima atau mampan,” tulis Trump.
Di Denmark dan Greenland, penunjuk perasaan berhimpun pada Sabtu membantah tuntutan Trump serta menuntut agar wilayah itu dibiarkan menentukan masa depannya sendiri.
Negara-negara yang dinamakan Trump turut menyatakan sokongan kepada Denmark, sambil memberi amaran rampasan wilayah Perjanjian Atlantik Utara (NATO) oleh tentera AS boleh meruntuhkan pakatan ketenteraan yang diterajui Washington itu.
“Pengumuman Trump ini datang sebagai satu kejutan,” kata Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer pula secara terbuka mengecam ancaman Trump dengan menyatakan di platform X, negaranya akan membangkitkan isu tersebut secara langsung dengan Washington.
“Mengenakan tarif ke atas sekutu kerana mempertahankan keselamatan kolektif NATO adalah tindakan yang sama sekali salah,” katanya.
Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen dan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dalam kenyataan berasingan tetapi senada di X berkata, Kesatuan Eropah (EU) berdiri dalam solidariti penuh bersama Denmark dan Greenland.
“Tarif akan menjejaskan hubungan transatlantik dan berisiko mencetuskan kitaran penurunan yang berbahaya. Eropah akan kekal bersatu, terkoordinasi dan komited mempertahankan kedaulatannya,” kata mereka.











