PETALING JAYA: Operasi Op Naga diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diperkukuh dengan perkongsian kepakaran komunikasi strategik melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Operasi keselamatan maritim berterusan itu bertujuan membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilapor dan tidak dikawal khususnya membabitkan pencerobohan Vessel Nelayan Asing (VNA) ke perairan negara.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd. Yusoff berkata, penglibatan BKS memperkukuh strategi dan pelaksanaan komunikasi dalam Op Naga agar maklumat kejayaan operasi dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat.
“Kepakaran komunikasi strategik, berupaya menyokong usaha meningkatkan kesedaran awam selain memperkukuh tahap integriti masyarakat, khususnya komuniti nelayan, dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.
“Pendekatan tersusun penting bagi memastikan mesej penguatkuasaan difahami dan mendapat sokongan semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Op Naga dilaksanakan secara berterusan sejak 2019 sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam menangani pencerobohan nelayan asing. Isu sama pernah dibongkar melalui Op Armada pada 2017 hasil kerjasama SPRM dan APMM, yang membawa kepada pemenjaraan tiga tahun serta denda RM1.75 juta terhadap seorang warga Vietnam pada 2019.
Op Naga turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan utama termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perikanan, selain beberapa agensi sokongan lain. – UTUSAN











