Trump ancam hantar tentera ke Minnesota

Trump ancam hantar tentera ke Minnesota

EJEN penguat kuasa persekutuan berdepan penunjuk perasaan antiICE semasa demonstrasi di luar Bangunan Persekutuan Bishop Whipple di Minneapolis, Minnesota.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk menguatkuasakan Akta Membanteras Pemberontakan bagi membolehkan pasukan tentera dikerahkan ke Minnesota susulan protes berterusan terhadap peningkatan operasi ejen imigresen di bandar Minneapolis.

Menerusi platform media sosialnya, Trump mengulangi ancamannya untuk menggunakan undang-undang abad ke-19 yang membolehkan tindakan ketenteraan bagi menumpaskan pemberontakan dan tidak pernah digunakan sejak lebih 30 tahun lalu. 

Ancaman itu dibuat beberapa jam selepas seorang pegawai imigresen menembak seorang lelaki warga Venezuela yang didakwa cuba melarikan diri ketika kenderaannya ditahan di Minneapolis.

“Jika ahli politik Minnesota yang korup tidak mematuhi undang-undang dan gagal menghentikan penghasut profesional serta pemberontak daripada menyerang patriot ICE yang hanya menjalankan tugas mereka, saya akan menguatkuasakan Akta Pemberontakan,” tulis Trump di media sosial.

Ketegangan antara penduduk dan pegawai persekutuan semakin memuncak selepas seorang ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) menembak mati seorang warganegara AS, Renee Good ketika berada dalam sebuah kenderaan di Minneapolis.

Pegawai kanan Rumah Putih, Stephen Miller pada Khamis menuduh pihak berkuasa Minnesota secara sengaja dan terancang mencetuskan pemberontakan ganas.

Namun Gabenor Minnesota dari Parti Demokrat, Tim Walz, menuduh ejen persekutuan melancarkan kempen keganasan terancang terhadap rakyat Minnesota dalam satu video yang dimuat naik di platform X. 

Beliau merujuk kepada pelbagai insiden ganas termasuk memecahkan tingkap, menyeret wanita hamil di jalanan, serta pembunuhan Good pada 7 Januari lalu.

“Kita mesti membantah dengan lantang dan segera, tetapi secara aman,” kata Walz sambil menggesa penduduk Minnesota merakam setiap interaksi dengan ICE untuk tujuan pendakwaan pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×