BAGI kebanyakan orang, haiwan peliharaan sering dikaitkan dengan kucing yang manja, ikan yang menenangkan atau burung yang menghiburkan. Jarang sekali ketam menjadi pilihan untuk dipelihara di dalam rumah.
Namun, di sebalik cengkerangnya yang keras dan gerak-geri yang sering dianggap asing, ketam sebenarnya menyimpan keunikan tersendiri yang jarang disedari.
Inilah pengalaman yang dilalui oleh Farah Atiqah Suhaizad, 33, seorang pencinta haiwan yang berani mencuba sesuatu di luar kebiasaan.
Daripada sekadar rasa ingin tahu, pemilihan seekor ketam sebagai haiwan peliharaan akhirnya membuka lembaran baharu dalam hidupnya, memperkenalkan satu sisi dunia pemeliharaan yang jarang diterokai.
Ketam peliharaannya yang diberi nama Tammy Tam merupakan spesies ketam pelangi yang berasal dari Afrika.
Bermula pada 2024, dia mula memelihara ketam ini tanpa jangkaan tinggi, namun gelagatnya perlahan-lahan mencuri perhatian.
Menurutnya, satu daripada perkara menarik tentang Tammy Tam ialah warnanya yang berubah-ubah mengikut cahaya, seolah-olah memancarkan pelangi di dalam akuarium.
“Saya tidak sangka seekor ketam boleh kelihatan begitu cantik, berkarisma,” katanya.
DARI RASA INGIN TAHU KE IKATAN EMOSI
Minat Farah Atiqah terhadap ketam tidak hadir secara mendadak. Ia bermula dengan rasa ingin tahu, sebelum berkembang menjadi minat mendalam apabila melihat tingkah laku Tammy Tam yang berbeza daripada haiwan peliharaan lain.
Ketika mula dipelihara, Tammy Tam masih di peringkat remaja dengan saiz sekitar tiga jari sahaja.

“Pada fasa ini, saya banyak belajar mengenai keperluan asas penjagaan ketam agar dapat menyesuaikan diri dengan habitat baharu,” katanya kepada Seri.
Katanya, selepas beberapa bulan, Tammy Tam melalui proses salin cengkerang sebanyak tiga kali.
“Proses semula jadi ini bukan sahaja menandakan pembesaran, malah menjadi indikator penting tahap kesihatan ketam. Kini, saiznya hampir sebesar tapak tangan saya.
“Walaupun saya dan suami turut memelihara ikan hiasan seperti Neon Tetra dan ikan emas, ketam tetap menjadi perhatian utama. Ia seolah-olah memahami persekitaran dan memberi reaksi terhadap situasi tertentu,” jelas Farah.
GELAGAT UNIK TARIK PERHATIAN
Antara gelagat paling menarik ialah tindakan Tammy Tam mengetuk cermin akuarium apabila lapar, seolah-olah berkomunikasi dengan penjaganya.
Dia menunjukkan perubahan emosi apabila kawasan persembunyiannya diganggu dengan menyendiri di penjuru akuarium.
Farah Atiqah turut berkongsi dua sifat unik yang ketara pada Tammy Tam. Pertama, apabila hampir melalui proses salin cengkerang, ketam akan mengasingkan diri dan mengurangkan pengambilan makanan.
Dalam tempoh ini, ketam menjadi lebih sensitif dan tidak boleh diganggu. Selepas proses itu selesai, kulit baharu yang masih lembut memerlukan tempoh pemulihan yang rapi.
“Menariknya, Tammy Tam akan memakan semula cengkerang lama sebagai sumber kalsium dan nutrien untuk menguatkan kulit baharu. Tingkah laku ini membuktikan kebijaksanaan semula jadi ketam.
“Kadang-kadang saya hanya duduk menghadap akuarium, melihat ia bergerak dan terasa seperti ada sahabat kecil yang memahami saya,” katanya.
PENJAGAAN, DIET
Bagi memastikan ketam sentiasa selesa, Farah Atiqah memberi perhatian khusus terhadap susun atur akuarium.
Batu dan kayu disediakan sebagai tempat persembunyian kerana ketam mempunyai naluri untuk menyusun kawasannya sendiri.
Kebersihan habitat menjadi faktor utama dalam penjagaan ketam. Air akuarium perlu ditukar dan kotoran dibersihkan dua hingga tiga kali seminggu bagi mengekalkan kualiti persekitaran.
Dari segi pemakanan, ketam merupakan haiwan omnivor yang memerlukan diet seimbang. Tammy Tam turut diberi udang, anak ikan kecil serta sayur-sayuran dan buah-buahan.
Farah mengakui sukar meninggalkan rumah dalam tempoh lama kerana ketam memerlukan perhatian berterusan.
“Akuarium perlu sentiasa bertutup kerana ketam gemar memanjat dan pernah beberapa kali cuba larikan diri,” katanya.
Keadaan ini biasanya berpunca daripada air yang kotor, kekurangan tempat persembunyian atau kelaparan.
“Ada yang terkejut apabila tahu saya pelihara ketam. Tapi selepas melihat Tammy Tam, mereka mula faham,” ujarnya.










