KOTA BHARU: Pelukis negara, Ismail Embong menyimpan impian besar membawa seni lukis Malaysia menembusi benua Eropah sekali gus memperkenal keunikan budaya dan jati diri negara ke pentas dunia.
Katanya, kepelbagaian etnik dan kekayaan budaya tempatan adalah aset bernilai tinggi yang wajar diketengahkan melalui karya seni visual.
“Karya lukisan ini bukan sekadar seni tetapi rakaman budaya dan sejarah negara. Malaysia memiliki identiti yang kuat dan ia wajar diperkenal kepada dunia,” katanya.
Beliau ditemui pada program Sepetang Bersama Legasi Ismail Embong di Balai Seni Lukis di sini kelmarin yang dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad.
Ismail berkata, hasrat utuk ke Eropah itu memerlukan sokongan dan tajaan pihak tertentu bagi memastikan karya yang dihasilkan bersama anak-anaknya iaitu Emma, Shikin dan Chacha dapat dipamerkan kepada masyarakat antarabangsa.
Katanya, setakat ini, pameran lukisan hasil karya mereka yang bermula di Kelantan diperluas ke Terengganu, Perlis dan Melaka.
“Lebih 100 karya lukisan hasil sentuhan kami kini dipamerkan di Perbadanan Muzium Kelantan,” katanya.
Menurutnya, sebahagian karya dihasilkan secara spontan termasuk ketika dalam perjalanan menaiki bas, berteraskan idea dan interpretasi tersendiri terhadap kehidupan serta budaya sekeliling.
Sementara itu, beliau memberitahu masih mencari pelapis seni lukisan bagi meneruskan legasinya.
“Setakat ini, belum ada pelapis yang benar-benar menepati apa yang saya harapkan,” katanya.-UTUSAN.









