PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sepanjang tahun ini, sekali gus menyediakan persekitaran monetari yang stabil bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Ini berdasarkan Laporan Unjuran Ekonomi Malaysia 2026 terbitan SME Bank yang turut menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 4.3 peratus walaupun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
Menurut laporan berkenaan, momentum pertumbuhan domestik dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh aktiviti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sokongan dasar yang berterusan.
Faktor-faktor ini dijangka dapat mengurangkan kesan faktor luaran yang berpunca daripada peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik global.
Secara keseluruhan, prospek pertumbuhan ini adalah sejajar dengan jangkaan Kementerian Kewangan Malaysia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, prospek pertumbuhan Malaysia bagi 2026 kekal berdaya tahan, dipacu oleh kekuatan PMKS dalam menyokong permintaan domestik, peluang pekerjaan dan produktiviti.
Katanya, Belanjawan Negara 2026 terus memperkukuh momentum ini melalui peruntukan pembiayaan dan kemudahan penjaminan berjumlah RM50 bilion, dengan SME Bank diamanahkan untuk melaksanakan hampir RM2 bilion inisiatif strategik nasional.
“Ini bagi menyokong peningkatan skala PMKS, penerapan teknologi serta peningkatan produktiviti merentasi sektor keutamaan, selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi BNM dan kerangka Ekonomi MADANI Kerajaan.
“Usaha tersebut dalam memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan produktiviti dan mempertingkat daya saing seiring kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi yang Mampan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Analisis Ekonomi SME Bank, Mazlina Abdul Rahman berkata, bank menjangkakan inflasi meningkat secara sederhana kepada 1.7 peratus tahun ini dan kekal pada paras yang terkawal.
Katanya, inflasi keseluruhan mencatat purata 1.4 peratus tahun ke tahun bagi 11 bulan pertama 2025, lebih rendah berbanding 1.9 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun 2024, sebelum meningkat sedikit bermula Julai 2025 susulan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan ke sektor perkhidmatan tambahan, barangan tidak keperluan terpilih serta pelarasan tarif utiliti.
“Dalam tempoh akan datang, harga minyak mentah Brent yang lebih rendah, jangkaan pengukuhan nilai ringgit berbanding purata tahun 2025 serta tiada pelaksanaan penstrukturan semula subsidi bahan api pada tahun ini dijangka membantu mengekang tekanan inflasi,” jelasnya.
Laporan tersebut juga menjangkakan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama yang menyokong pertumbuhan keseluruhan, dipacu oleh penggunaan isi rumah yang berdaya tahan hasil dasar monetari dan fiskal yang positif.
Jelasnya, ini termasuk peningkatan peruntukan Sumbangan Asas Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah serta pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam Fasa 2, yang dijangka membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup dan mengekalkan perbelanjaan pengguna.
Dalam pada itu, sektor pembuatan berdepan pendedahan tarif yang lebih tinggi memandangkan 67.1 peratus Indeks Pengeluaran Perindustrian adalah berorientasikan eksport, sekali gus meningkatkan kerentanan terhadap kejutan permintaan luaran dan perkembangan dasar perdagangan.
“Aktiviti pembinaan dijangka kembali ke paras yang lebih sederhana selepas dua tahun pertumbuhan luar biasa pasca pandemik yang dipacu oleh projek infrastruktur dan sektor swasta.
“Sektor perlombongan dijangka kekal rendah, dipengaruhi oleh permintaan yang sederhana daripada ekonomi pengimport utama serta penurunan harga minyak mentah global,” tambahnya. – UTUSAN










