ANTARA 2023 dan 2024 sahaja, enam ekor harimau dilaporkan mati akibat perlanggaran dengan kenderaan. Dalam satu kes yang mengejutkan pada tahun lalu, bangkai harimau ditemui dengan enam butir peluru di kepalanya, disembunyikan di dalam but kereta.
Penjualan kulit dan gigi harimau sebagai azimat adalah masalah global yang mengancam spesies terancam ini dan menjejaskan usaha pemuliharaan. Dalam sesetengah budaya, kulit harimau dilihat sebagai simbol kuasa, kekayaan atau perlindungan manakala gigi dan kuku dikatakan membawa kekuatan, keberanian atau tuah apabila dipakai sebagai azimat.
Kepercayaan ini, yang diturunkan dari generasi ke generasi, terus mencipta permintaan walaupun tidak mempunyai asas saintifik. Akibatnya, harimau diburu atau pemburuan haram bukan untuk keperluan hidup tetapi keuntungan dan status.
Di Malaysia, terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan kulit dan gigi harimau. Carian di dalam talian mendedahkan kulit dan gigi harimau boleh didapati melalui platform e-dagang. Amalan berterusan ini menyerlahkan lagi keperluan mendesak untuk pemuliharaan, terutamanya bagi negara seperti Malaysia. Perdagangan haram bahagian badan harimau ditambah lagi dengan kemusnahan habitat, mewujudkan ancaman tambahan kepada kelangsungan hidupnya.
Pembinaan jalan dan lebuh raya melalui hutan bukan sahaja memusnahkan habitat tetapi mencetuskan tindak balas berantai kemusnahan dengan pembalakan intensif, pengembangan pertanian dan penempatan baharu.
Aktiviti-aktiviti ini ‘menghilangkan’ ekosistem dan menyebabkan kehilangan habitat menyebabkan harimau tiada pilihan selain menjadikan ternakan sebagai mangsanya.
Usaha yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti Orang Asli dan agensi kerajaan termasuk angkatan tentera, polis dan Jabatan Perhutanan dipuji.
Namun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melaporkan pada 2024 peningkatan yang membimbangkan dalam pemburuan haram, terutamanya semasa musim perayaan. Spesies rusa dan kancil yang penting untuk kelangsungan hidup harimau dan burung enggang sedang diburu secara haram untuk dimakan atau dipelihara sebagai haiwan peliharaan eksotik.
Kerajaan negeri mestilah mengakui hutan bukan hanya tanah untuk pembangunan tetapi juga penting bagi pengawalan iklim, bekalan air dan perlindungan tanah. Namun kepelbagaian biologi, sebagai tidak ketara, sentiasa diremehkan dalam keputusan dasar.
Selagi pengurusan tanah dan sumber kekal tertakluk kepada keutamaan ekonomi jangka pendek menyebabkan pemuliharaan akan menghadapi halangan yang tidak dapat diatasi.
Dengan keadaan Harimau Malaya yang kini semakin diambang kepupusan, bolehkah Perhilitan memulihkan populasi harimau secara realistik daripada 150 ekor kepada 400 ekor menjelang 2030, seperti yang dibayangkan oleh Ketua Pengarah Hidupan Liar atau adakah sasaran ini adalah satu ilusi?
Menyelamatkan harimau memerlukan lebih daripada kempen kesedaran. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menuntut iltizam politik dan menggesa langkah antipemburuan haram yang lebih tegas, peningkatan dana bagi rondaan dan penguatkuasaan menentang rasuah dalam rangkaian jenayah hidupan liar, habitat hutan yang lebih dilindungi, lebih berhubung selain meningkatkan penglibatan komuniti Orang Asli yang lebih mengenali hutan daripada orang lain.
Malaysia perlu lebih berusaha untuk melindungi spesies paling ikonik negara. Jika harimau kita lenyap, ia bukan disebabkan oleh kejahilan tetapi kerana kegagalan untuk melakukan dengan secukupnya untuk melindunginya. –UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)










