Kedai serbaneka didenda RM30,000 jual rokok berhampiran sekolah 

Kedai serbaneka didenda RM30,000 jual rokok berhampiran sekolah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengenakan denda sebanyak RM30,000 ke atas pengusaha sebuah kedai serbaneka di daerah ini atas kesalahan menjual rokok berhampiran sekolah.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Marsha Abdul Malik selepas pengurus syarikat premis perniagaan tersebut selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan. 

Premis tersebut didakwa menjual produk tembakau di dalam kawasan yang terletak kurang 40 meter dari pagar sebuah sekolah, di Jalan Jakar, di sini pada pukul 11 pagi, 14 April lalu.

Kedai serbaneka berkenaan didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Sementara itu, seorang pengusaha sebuah kedai runcit didenda sebanyak RM9,000 oleh mahkamah sama atas kesalahan menjual rokok kepada remaja lelaki berusia 17 tahun.

Majistret Marsha menjatuhkan hukuman itu selepas OKS membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan. Berdasarkan pertuduhan, OKS didakwa didapati tmenjual produk merokok kepada seorang lelaki orang belum dewasa (OBD) berusia 17 tahun.

Perbuatan  tersebut didakwa dilakukan  di premis tersebut terletak di Binjai, di sini pada pukul 3 petang, 29 September 2025.

Pengusaha premis perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 13(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan, Mohd. Azman Mohd. Ramli dan Alias Awang Kechik manakala kedua-dua OKS pula tidak diwakili peguam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×