PETALING JAYA: Rakan parti komponen diminta untuk memberi ruang kepada Pas bagi mengemudi Perikatan Nasional (PN) terutama bagi menyiapkan gabungan itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Bersatu Malaysia Malaysia (Bersatu) menerima hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu berundur dari posisi Pengerusi PN adalah satu keputusan yang baik.
“PN insya-Allah akan bergerak ke hadapan, berikan Pas peluang untuk mengemudi teraju PN menghadapi PRU16. Kita bangkit mara ke Putrajaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, MPT Bersatu dilaporkan menghormati keputusan Presidennya yang mahu meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi PN dan akan mempertahan keputusan itu atas dasar prinsip serta tanggungjawab.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, MPT Bersatu menerima keputusan itu selepas mendengar hujah Muhyiddin mengenainya pada mesyuarat parti malam tadi.
Bagaimanapun, beliau berkata, MPT juga membincangkan secara mendalam mengenai hala tuju PN dalam persiapan PRU16 untuk maju ke hadapan dengan dasar yang sederhana, progresif dan prihatin rakyat.
Jelasnya, MPT Bersatu mengambil pendirian untuk parti kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN serta kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan.-UTUSAN










