Bursa Malaysia cecah 1,695, tertinggi lebih 5 tahun

Bursa Malaysia cecah 1,695, tertinggi lebih 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia mencatatkan paras tertinggi lebih lima tahun apabila ditutup melepasi 1,695 mata pada Isnin, menunjukkan keyakinan pelabur setelah mencatatkan aliran masuk berjumlah RM42.5 juta pelabur asing minggu lalu.

Pada 5 petang semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 8.90 mata kepada 1,695.44, berbanding 1,686.54 pada penutup Jumaat lalu.

Indeks penanda aras dibuka tinggi pada 1,687.07.

Jumlah dagangan sebanyak RM3.09 bilion unit bernilai RM2.72 bilion.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 641 berbanding 467 dengan 534 kaunter tidak berubah dan 1,008 tidak diniagakan.

Penanda aras tertinggi yang dicatatkan Bursa Malaysia adalah 1,896.23 pada Julai 2014, sebelum harga minyak jatuh.

MBSB Investment Bank Bhd. berkata, pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih ekuiti di Bursa Malaysia pada minggu lepas, sekali gus menamatkan jualan berterusan selama empat minggu dengan aliran masuk bersih berjumlah RM42.5 juta.

Bank pelaburan berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada dua daripada lima hari dagangan, dengan aliran masuk tertinggi direkodkan pada Jumaat berjumlah RM191.0 juta.

Katanya, aliran masuk turut dicatatkan pada Rabu sebanyak RM80.4 juta, manakala aliran keluar terbesar berlaku pada Selasa berjumlah RM153.4 juta, diikuti Khamis sebanyak RM55.7 juta dan Isnin berjumlah RM19.8 juta.

“Tiga sektor teratas yang merekodkan aliran masuk asing bersih ialah produk perindustrian dan perkhidmatan sebanyak RM206.7 juta, diikuti hartanah berjumlah RM69.0 juta serta teknologi sebanyak RM63.0 juta.

“Sebaliknya, sektor utiliti mencatatkan aliran keluar asing bersih terbesar sebanyak RM207.5 juta, diikuti perladangan berjumlah RM123.5 juta dan amanah pelaburan hartanah sebanyak RM30.2 juta,” katanya dalam laporan aliran dananya bagi minggu berakhir 9 Januari.

Dalam perkembangan sama, MBSB Investment berkata, institusi tempatan meneruskan aktiviti pembelian untuk minggu kelapan berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM126.6 juta.

“Bagaimanapun, peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu keenam berturut-turut, merekodkan aliran keluar bersih berjumlah RM169.2 juta.

“Dari segi aktiviti dagangan, purata jumlah dagangan harian meningkat merentasi semua kumpulan pelabur, dipacu oleh pelabur asing dengan kenaikan sebanyak 67.3 peratus, diikuti institusi tempatan pada 36.7 peratus dan peruncit tempatan sebanyak 30.5 peratus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×