Konsep kepolisan masyarakat bantu cegah jenayah

Konsep kepolisan masyarakat bantu cegah jenayah

KONSEP kepolisan masyarakat bantu cegah jenayah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKSYEN 3(3) Akta Polis 1967 menegaskan peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keselamatan, ketenteraman dan menguatkuasakan undang-undang. Tugas ini bukan mudah, terutamanya ketika membanteras jenayah berat seperti pembunuhan, rompakan, penculikan, dadah dan kongsi gelap.

Polis perlu merancang risikan, memantau dan menyerbu penjenayah, kadangkala berdepan risiko nyawa sendiri. Dalam situasi tertentu, langkah drastik seperti menembak penjenayah tegar diambil mengikut prosedur operasi standard (SOP) untuk melindungi mangsa dan diri mereka sendiri.
Masyarakat perlu memahami keselamatan awam bukan isu remeh. Tindakan polis tidak wajar disensasikan, dijadikan isu politik atau perkauman.

Sebaliknya, kritikan harus berasaskan fakta, bukan tuduhan melulu. Setiap anggota polis bertindak dalam kerangka undang-undang demi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara. Sokongan moral masyarakat amat penting agar polis dapat menjalankan tugas dengan lancar dan berkesan.

Seiring perkembangan jenayah yang semakin kompleks, PDRM memperkenalkan konsep Kepolisan Masyarakat sejak 2008. Konsep ini membina kefahaman, kepercayaan dan tanggungjawab dua hala antara polis serta masyarakat.

Masyarakat menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat secara cepat dan tepat. Pendekatan ini merangkumi pencegahan sebelum jenayah berlaku dan tindakan selepas ia berlaku.

Konsep ini juga selari dengan teori Broken window oleh James Q. Wilson dan George L. Kelling (1982), yang menekankan jenayah kecil yang dibiarkan tanpa tindakan boleh berkembang menjadi jenayah lebih besar. Justeru, penglibatan masyarakat membantu membendung jenayah dari peringkat awal dan mengurangkan risiko kesalahan yang lebih serius.

Kepolisan masyarakat bukan sahaja memperkukuh hubungan antara polis dan komuniti tetapi memberi peluang kepada anggota polis berinteraksi dan memahami keperluan tempatan. Jalinan sihat ini membolehkan polis mengenal pasti isu sosial dan jenayah dengan lebih berkesan.
Di era moden, jenayah bukan sahaja berbentuk fizikal tetapi turut merangkumi jenayah siber, jenayah berat dan keganasan.

Oleh itu, PDRM memerlukan kuasa yang diperkukuh bagi membolehkan tindakan tegas terhadap jenayah terancang, sambil mengekalkan prinsip keadilan dan keselamatan.

Hakikatnya, keselamatan negara bukan tanggungjawab polis semata-mata. Ia memerlukan kerjasama aktif masyarakat, kesedaran bersama dan sokongan padu agar setiap usaha membanteras jenayah lebih berkesan serta memastikan masyarakat hidup dalam suasana aman dan sejahtera.-UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis Sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×