TULAR baru-baru ini mengenai seorang pempengaruh media sosial yang sering menyerang beberapa pendakwah bebas di Kedah melalui media sosial. Beliau bukan sahaja mempertikaikan amalan dakwah mereka, malah turut mempersoalkan gelaran ustaz yang disandang.
Namun, ramai tidak mengenali latar belakang pempengaruh berkenaan. Tanggapan awam pula timbul yang tindakannya mungkin didorong rasa hasad dengki, terutama apabila melihat kejayaan pendakwah. Ini memandangkan kejayaan itu dianggap mustahil mencapai kekayaan.
Antara isu yang dibangkitkan adalah tuntutan audit terbuka terhadap pungutan derma dan sumbangan awam.
Sebenarnya, audit kebiasaannya dibentangkan melalui laporan tahunan dalam mesyuarat agung persatuan, institusi pendidikan, madrasah mahupun masjid. Membawa isu ini ke media sosial tidak mewakili mekanisme audit yang sah.
Sekiranya benar berlaku penyelewengan dana, sepatutnya pihak yang berkenaan digalakkan membuat aduan terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
Pertikaian terhadap gelaran ustaz yang diiktiraf juga menunjukkan kurangnya kefahaman. Pengiktirafan diberikan berdasarkan khidmat bakti mereka kepada masyarakat mahupun kerajaan dan menafikan usaha itu adalah tidak wajar.
Sebaliknya, masyarakat digalakkan menyokong dan menghargai kejayaan pendakwah tersebut.
Bagi pihak yang menguruskan pungutan derma, pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) atau pihak berwajib lain merupakan langkah bijak untuk mengelakkan salah faham di masa hadapan.
Nasihat saya, pempengaruh media sosial berkenaan seharusnya menumpang bangga dengan kejayaan mereka, bukan mencemuh. Usaha pendakwah bukan semata-mata untuk kepentingan diri tetapi menaikkan martabat umat Islam.
Kejayaan mereka selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW yang bukan sahaja menyampaikan risalah tetapi turut melahirkan usahawan Muslim berjaya di dunia dan akhirat.-UTUSAN
WALI TOK SONGEI
Pulau Pinang










