KANGAR: Sebanyak RM280,000 disalurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam fasa satu Peruntukan Institusi Pendidikan Islam Negeri Perlis 2026 kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maad dan Sekolah Agama Al-Islahiyyah Menengah (SAIM), Behor Mali.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, dana berkenaan sebahagian daripada strategi MAIPs memastikan sekolah agama kekal kompetitif.
Katanya, sumbangan berkenaan menyokong pengurusan dan pembangunan prasarana, serta melahirkan generasi cemerlang akademik dan unggul sahsiah.
“Pemantauan berterusan memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan sepenuhnya demi kebajikan pelajar.
“Fasa pertama ini diharapkan membantu sekolah melaksanakan perancangan tahunan lebih efisien, meningkatkan kualiti pendidikan holistik dan berteraskan nilai Islam,” katanya di sini.
Melalui peruntukan itu SMA Al-Maad menerima RM80,000 manakala SAIM RM200,000.
Majlis berlangsung di Masjid Al-Ghufran disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs.
Turut hadir Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Mohd. Nazim berkata, penyaluran dana ini memperkukuh komitmen MAIPs terhadap sektor Pendidikan Islam di negeri ini.
Katanya, langkah proaktif itu menunjukkan peranan penting institusi dalam memastikan kelestarian Pendidikan Islam di Perlis kekal relevan menghadapi cabaran pendidikan masa kini.
Peruntukan dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan akademik dan sahsiah pelajar, menjadikan sekolah agama sebagai institusi unggul dan tumpuan utama pendidikan Islam negeri. – UTUSAN










