OSLO: Institut Nobel Norway menegaskan Hadiah Keamanan Nobel tidak boleh dipindahkan, dikongsi atau ditarik balik, susulan kenyataan pemimpin pembangkang Venezuela, María Corina Machado yang mencadangkan beliau mungkin menyerahkan anugerah 2025 itu kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dalam satu kenyataan, institut berkenaan berkata, keputusan penganugerahan Hadiah Nobel adalah muktamad dan kekal, selaras dengan statut Yayasan Nobel yang tidak membenarkan sebarang rayuan.
Organisasi itu turut menyatakan jawatankuasa penganugerahan tidak mengulas tindakan atau kenyataan penerima selepas anugerah diberikan.
“Setelah Hadiah Nobel diumumkan, ia tidak boleh ditarik balik, dikongsi atau dipindahkan kepada pihak lain.
“Keputusan itu adalah muktamad dan kekal untuk selama-lamanya,” kata Jawatankuasa Nobel Norway dan Institut Nobel Norway pada Jumaat.
Pada Isnin, Machado, ketika bercakap dengan Sean Hannity di Fox News berkata, menyerahkan hadiah tersebut kepada Trump akan menjadi tanda penghargaan rakyat Venezuela atas penyingkiran bekas presiden negara itu, Nicolás Maduro yang ditangkap minggu lalu oleh AS.
Trump, yang sejak sekian lama menyatakan minat untuk memenangi anugerah tersebut dan pada beberapa ketika mengaitkannya dengan pencapaian diplomatik berkata, beliau akan berbesar hati untuk menerimanya sekiranya ditawarkan oleh Machado dalam satu pertemuan yang dirancang di Washington minggu hadapan.
Machado, bekas ahli Perhimpunan Kebangsaan dilarang bertanding dalam pilihan raya umum Venezuela 2024 oleh pihak berkuasa yang berpihak kepada Maduro.
Beliau menyokong seorang calon pengganti yang secara meluas dianggap memenangi undi, walaupun Maduro mengisytiharkan kemenangan.
Audit kertas undi oleh pemerhati bebas menunjukkan wujudnya ketidakteraturan dalam keputusan rasmi. -AGENSI











