AS lancar serangan berskala besar terhadap IS di Syria

AS lancar serangan berskala besar terhadap IS di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pasukan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya melancarkan serangan berskala besar ke atas kumpulan militan IS di Syria sebagai tindak balas terbaharu terhadap serangan yang meragut nyawa tiga rakyat AS.

Pusat Komando Pusat AS (CENTCOM) yang mengawasi pasukan ketenteraan AS di rantau ini berkata, beberapa serangan menyasarkan IS di seluruh Syria.

Hantaran CENTCOM di X tidak memberikan butiran spesifik mengenai lokasi serangan. Rakaman udara kabur yang disertakan menunjukkan beberapa letupan berasingan, dipercayai berlaku di kawasan luar bandar.

“Serangan ini merupakan sebahagian daripada Operasi Hawkeye Strike, yang dilancarkan sebagai tindak balas langsung terhadap serangan IS ke atas pasukan AS dan Syria di Palmyra,” kata CENTCOM.

Pada 13 Disember tahun lalu, dua tentera dan seorang penterjemah warga AS maut apabila seorang penembak tunggal yang digambarkan Washington sebagai militan IS menyerang mereka di Palmyra, kawasan bersejarah yang disenaraikan UNESCO dan pernah dikuasai oleh kumpulan militan itu.

Kementerian Dalam Negeri Syria kemudian menyatakan penembak itu adalah anggota pasukan keselamatan yang dijadualkan diberhentikan kerana ekstremisme.

“Kami tidak akan pernah melupakan dan tidak akan pernah berundur,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, dalam hantaran di X sempena kenyataan CENTCOM pada Sabtu.

Bulan lalu, AS dan Jordan melaksanakan satu pusingan serangan sebagai tindak balas terhadap insiden Palmyra, dengan CENTCOM ketika itu menyatakan lebih 70 sasaran telah diserang.

Pemantau perang, Observatory for Human Rights Syria kemudian melaporkan serangan itu membunuh sekurang-kurangnya lima anggota IS, termasuk seorang ketua sel militan.

Pada 3 Januari, Britain dan Perancis mengumumkan serangan bersama menyasarkan kemudahan bawah tanah yang dipercayai digunakan IS untuk menyimpan senjata.

Pasukan AS yang diserang di Palmyra pada masa itu menyokong Operasi Inherent Resolve, usaha antarabangsa menentang IS, yang pada 2014 menguasai sebahagian wilayah Syria dan Iraq.

Militan itu akhirnya ditewaskan oleh pasukan tempatan dengan sokongan serangan udara antarabangsa dan bantuan lain, tetapi IS masih mempunyai kehadiran di Syria, terutama di kawasan padang pasir yang luas.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini skeptikal terhadap kehadiran Washington di Syria, mengarahkan penarikan tentera semasa penggal pertamanya, namun akhirnya mengekalkan pasukan AS di negara itu.

Pentagon mengumumkan pada April AS akan mengurangkan separuh bilangan kakitangan AS di Syria dalam beberapa bulan berikutnya, sementara utusan AS ke Syria, Tom Barrack berkata, Washington akhirnya akan mengecilkan pangkalan mereka di negara itu kepada satu sahaja.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×