PERPUSTAKAAN tidak terlepas dalam skop integrasi repositori dan koleksi khas, merujuk bagaimana kedua-dua komponen iaitu nadir dan digital berdiri dalam bumbung yang sama dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Pada zaman yang serba moden ini, repositori adalah sebagai platform untuk mempamerkan koleksi khas versi digital.
Koleksi khas ini mempunyai dua kategori iaitu secara fizikal dan digital, akan merancakkan lagi penambahan kuantiti koleksi khas atau nadir dalam menyediakan jangkauan maklumat yang luas serta dapat meningkatkan kesedaran masyarakat betapa pentingnya bahan nadir ini untuk dipertontonkan atau disediakan untuk rujukan masyarakat sebagai input tambahan mengenal, mengenang dan cinta akan harta ilmu.
Setiap artifak yang dikumpulkan, menjadi simbolik terhadap perpustakaan bahawa organisasi ini serius bukan sekadar menyediakan koleksi terkini malah membuka mata komuniti bahawa perpustakaan adalah nukleus dan pencetus ilmu yang menghubungkan penyelidik dan komuniti lebih dekat dengan sejarah negara.
Dari pendidikan kita menuju ke peranan perpustakaan dalam keterlibatan komuniti, kita harus memahami bahawa perpustakaan juga memainkan peranan yang besar dalam usaha meningkatkan pemantapan pemikiran komuniti.
Antara inisiatif yang boleh diketengahkan adalah memperkasa program pembangunan luar bandar dengan berkolaborasi dengan sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri dan agensi kerajaan untuk mempromosi akses terbuka.
Hal ini demikian kerana selaras dengan teras keempat tadbir urus pembangunan mampan iaitu meningkatkan kualiti pendidikan, di mana perpustakaan bertanggungjawab dalam penyediaan maklumat bagi tujuan pendidikan dan meningkatkan keterlibatan komuniti dalam menghargai ilmu dan warisan.
Tamsilannya, membina budaya membaca dan penyelidikan di peringkat komuniti dengan mengadakan pengurusan koleksi khas kepada masyarakat setempat.
Rentetan daripada usaha ini, menggalakkan komuniti untuk menghargai serta bergiat aktif dalam memelihara koleksi khas, membantu meningkatkan keterlihatan lokaliti setempat yang mempunyai nilai dan sejarah yang tersendiri serta menarik daya tarikan penyelidik luar untuk mencari penemuan yang belum terungkai dalam konteks sejarah tempatan.
Bukan itu sahaja, dengan adanya inisiatif seperti ini dapat memberi impak dari segi menjamin kelestarian ilmu, setiap artifak atau catatan lama yang ada dapat dijaga dengan prosedur yang rapi bagi memastikan ia kekal relevan dan dilindungi.
Secara keseluruhannya, repositori institusi dan koleksi khas memainkan peranan penting dalam menjadikan ilmu dapat dicapai oleh semua tanpa batasan melalui usaha pendigitalan, pemeliharaan dan akses terbuka, perpustakaan berjaya mencipta ruang himpunan khazanah ilmu masa lalu sambil membuka ruang kepada inovasi pada masa depan.
Akses terbuka membuka minda masyarakat menghargai sejarah, memperkaya daya fikir dan memperluas cabang ilmu dalam pelbagai bidang.
Hasil akhir yang boleh kita renung bersama, perpustakaan teguh sebagai organisasi yang bukan sahaja melindungi harta intelek malah memupuk budaya ilmu yang holistik serta progresif yang menyokong pembangunan negara.
Sebagai rakyat yang prihatin, marilah kita bersama-sama meningkatkan pendedahan koleksi khas atau nadir ini sebagai medan perbincangan dan medan kekuatan perpaduan yang perlu kita semai dalam hati melahirkan rasa kasih dan sayang terhadap ilmu pengetahuan.
Oleh demikian, selangkah demi selangkah, ilmu ini akan lebih terbuka dan boleh dicapai, perpustakaan sentiasa menjadi penjaga ilmu pengetahuan dan warisan, membina generasi berilmu dan berjaya sepanjang zaman. – UTUSAN
MUHAMMAD SYAZNI AIMAN SAAD
Penolong Pustakawan,
Perpustakaan Sultan Abdul Samad
Universiti Putra Malaysia










