RM5 juta tambahan tambah baik, selenggara Zoo Negara

RM5 juta tambahan tambah baik, selenggara Zoo Negara

ANWAR Ibrahim bersama pemberita selepas Majlis Pembukaan Rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan tambahan RM5 juta kepada Zoo Negara bagi menambah baik fasiliti, pengurusan dan penyelenggaraan sedia ada bagi meningkatkan tarikan pelancong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada tahun lalu, RM5 juta telah disalurkan kepada Zoo Negara bagi meningkatkan fasiliti dan penyediaan tambahan, selaras dengan pencapaian memberangsangkan pusat tarikan pelancongan tersebut.

Katanya, selain menjadi tarikan pelancongan, ia juga berperanan sebagai destinasi lawatan pelajar sekolah untuk memberikan pendedahan mengenai tanggung jawab terhadap alam sekitar dan kepelbagaian hidupan liar.

“Negara baru sahaja menerima pasangan Giant Panda baharu, Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina). Saya mengambil kesempatan bersama Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing untuk merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Presiden Xi Jinping serta Premier China atas sumbangan yang bermakna ini. 

“Tahun ini, saya meluluskan tambahan RM5 juta bagi tujuan pengurusan serta penyelenggaraan kawasan ini. Kehadiran panda ini merupakan tarikan pelancongan yang besar, bukan sahaja kepada pelawat dalam negara malah dari luar negara.

“Keupayaan pasukan pengurusan serta seluruh pihak yang menjaga dan memelihara haiwan ini amat membanggakan negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara, hari ini.

Mengulas pandangan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung kawasan tanah di Zoo Negara yang tidak digunakan sejak 1963, Anwar berkata, tiada keperluan mendesak untuk menggunakan tanah itu kerana ruang sedia ada mencukupi untuk tujuan penyelenggaraan. 

“Perkara ini telah dibincangkan dengan pihak berkaitan dan akan diputuskan sama ada penggunaan tambahan tanah diperlukan atau tidak.

“Hakikat mempunyai tanah mencukupi adalah satu kelebihan. Tidak semua inci tanah perlu dimajukan kerana kawasan hijau di sekitar zoo perlu dipelihara. 

“Kerajaan komited untuk memastikan tiada pembangunan dilakukan di kawasan hijau, khususnya di dalam dan sekitar zoo bagi melindungi persekitaran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×