Charlie, kucing dalmatian bertuah

Charlie, kucing dalmatian bertuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SI manja minggu ini cukup popular dalam kalangan peminat kucing kerana video-videonya sering tular hingga meraih lebih lima juta tontonan.

Charlie atau lebih dikenali sebagai Charlie, the dalmatian cat mencuri perhatian ramai kerana corak bulunya yang unik dan berbintik-bintik seperti anjing.

Pemiliknya, Siti Khairunnisa Ab. Khalid berkata, Charlie merupakan kucing jalanan yang diselamatkannya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Kehadiran tidak disangka haiwan comel itu sekali gus membawa perubahan besar dalam kehidupan peribadi dan kerjayanya.

Tambah jurusolek ini, Charlie ditemukan di dalam longkang ketika usianya sekitar sebulan dengan saiz sebesar tapak tangan.

“Inilah kucing pertama yang saya selamatkan daripada jalanan.

“Ketika itu saya sedang melalui fasa hidup yang mencabar kerana semua tempahan solekan dibatalkan hingga hilang sumber pendapatan.

“Tetapi, saya sedar anak kucing ini tidak mungkin mampu bertahan hidup di luar, jadi saya ambil keputusan untuk membawanya pulang,” katanya.

Nama kucing itu diberikan oleh anak saudaranya kerana terinspirasi daripada cerita Lola and Charlie.

Tambahan pula, dia sudah mempunyai seekor kucing bernama Lola.

Selamatkan lebih 10 kucing jalanan
Kehadiran Charlie membuka pintu rezeki Siti Khairunnisa walaupun berdepan fasa sukar semasa PKP.

Antaranya termasuk menerima tajaan makanan kucing dan terpilih bekerjasama dengan jenama minuman terkenal menerusi penghasilan kandungan bersama si manjanya itu.

Hasil tajaan dan kerjasama itu dimanfaatkan semula bagi membantu kucing dan anjing jalanan yang memerlukan.

“Disebabkan Charlie, saya dapat menyelamatkan lebih 10 kucing jalanan lain pada tahun tersebut, walaupun tiada pendapatan tetap.

“Saya bersyukur kerana Allah memilih saya untuk menjaganya, satu-satunya kucing yang unik di Malaysia,” katanya.

 

Bintik hitam muncul perlahan-lahan
Pada peringkat awal, Siti Khairunnisa tidak menyedari sebarang keunikan pada Charlie.

Keadaannya yang comot ketika diselamatkan menyukarkan corak bulunya dikenal pasti.

Malah, cubaan membuka peluang pengambilan angkat juga tidak mendapat sambutan, menyebabkan dia terpaksa membesarkannya sendiri.

“Selepas dimandikan, saya nampak ada bintik hitam tetapi sangat pudar. Apabila semakin membesar, barulah ia semakin jelas,” katanya.

Namun, keunikan sebenar Charlie hanya disedari selepas gambar dan video haiwan itu tular di media sosial.

“Ramai yang komen kata Charlie kucing unik, satu dalam sejuta. Ada juga yang menyangkanya kucing dari luar negara. Dari situ barulah saya sedar ia memang kucing istimewa,” katanya.

Bahkan, doktor veterinar turut terkejut melihat Charlie kerana tidak pernah melihat kucing dengan corak sepertinya.

Manja, setia
Baginya, keistimewaan Charlie bukan sekadar pada corak bulu, tetapi sikap yang manja dan setia.

“Charlie satu-satunya kucing yang akan mencari saya dan suami setiap kali mahu tidur.

“Ia akan menghisap baju saya dahulu sebelum beralih ke sisi suami, memeluk dan tidur bersama sehingga pagi,” katanya.

Reaksi orang sekeliling pula pelbagai, pernah suatu ketika, Charlie disangka anjing ketika dibawa ke taman.

Manakala pelanggan solekan yang datang ke rumah turut terhibur melihat raut wajahnya yang unik dan kelihatan ‘kelakar’.

Malah, dia pernah dihubungi oleh seorang breeder dari Jerman yang berminat untuk membiak Charlie, namun tawaran itu ditolak.

“Saya tidak menyokong pembiakan haiwan. Saya lebih cenderung kepada usaha menyelamatkan dan Charlie sudah dimandulkan sejak usianya lima bulan,” jelasnya.

 

Diuji leukemia
Perjalanan Siti Khairunnisa menjaga Charlie turut diuji dengan cabaran besar apabila kucing itu disahkan positif leukemia pada 2023.

Si manjanya turut mengalami stomatitis teruk hingga menyebabkannya tidak mampu makan.

“Saya sangat sedih dan tertekan, sehingga terpaksa membatalkan perjalanan pulang ke Kelantan demi memberi sepenuh perhatian padanya,” katanya.

Sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, pelbagai rawatan dicuba sebelum keputusan dibuat untuk membuang gigi Charlie.

Kos rawatan mencecah belasan ribu ringgit, dibantu oleh sokongan pengikut pencinta kucing di media sosial.

“Alhamdulillah, enam bulan selepas rawatan, keadaannya semakin stabil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×