Yayasan Peneraju perluas pembiayaan latihan AI bumiputera

Yayasan Peneraju perluas pembiayaan latihan AI bumiputera

IBRAHIM Sani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Peneraju (YP) melancarkan Pakej Asas sebagai penawaran baharu skim pembiayaannya bermula 9 Januari 2026, sekali gus melengkapkan rangkaian pakej perak, emas dan platinum yang diperkenalkan pada 2025.

Pakej Asas bertujuan merendahkan halangan kemasukan kepada program peningkatan dan latihan semula kemahiran, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), sejajar dengan keperluan pasaran kerja yang semakin dipacu teknologi.

Di bawah pakej ini, pemohon yang layak boleh memohon pembiayaan tanpa faedah sehingga RM5,000, tanpa yuran pentadbiran, serta tanpa keperluan bayaran balik sekiranya berjaya menamatkan latihan, tertakluk kepada terma dan syarat.

Penawaran pertama Pakej Asas memfokuskan kepada latihan AI bagi mempercepatkan kadar penerima gunaan teknologi tersebut merentasi industri, selari dengan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, dalam Perutusan Tahun Baharu 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, kajian menunjukkan kira-kira 620,000 pekerjaan di Malaysia berpotensi terkesan secara signifikan akibat AI, pendigitalan dan ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Peningkatan dan latihan semula kemahiran kini menjadi keutamaan mendesak. Jika diurus dengan baik, AI mampu memberi manfaat inklusif merentasi sektor seperti kesihatan, pendidikan, pertanian, perkhidmatan dan pembuatan.

“Melalui Pakej Asas, kami mahu meluaskan akses latihan gunaan supaya lebih ramai bakat Bumiputera dapat membina kemahiran AI yang relevan dengan keperluan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi Pakej Asas, peserta boleh memilih daripada lebih 100 kursus latihan AI yang ditawarkan oleh lebih 40 Institusi Pembelajaran dan Latihan Diluluskan (ALTI), dengan jumlah tempat yang terhad.

Senarai kursus dijangka berkembang sejajar dengan penawaran latihan AI baharu di pasaran.

Latihan ini dipetakan kepada AI Readiness Index (AIRI) yang dibangunkan oleh AI Singapore, bagi membantu peserta mengenal pasti tahap kemahiran masing-masing dan berkembang secara berstruktur, daripada peringkat asas sehingga kompeten.

Kursus merangkumi pengenalan dan aplikasi seperti ‘prompt AI’ dan Asas AI generatif serta laluan khusus mengikut peranan dalam reka bentuk, pengkomputeran awan, pembangunan, data dan keselamatan.

Menurut Ibrahim, pendekatan berperingkat ini membolehkan peserta beralih ke pakej perak, emas atau platinum bagi pengkhususan lebih mendalam dan hasil kerjaya yang lebih tersasar.

Pakej Asas terbuka kepada pemohon berumur 16 tahun ke atas, termasuk lepasan sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, graduan, golongan bekerja, bekerja sendiri atau menganggur.

Tempoh latihan direka agar praktikal dan menjimatkan masa, dengan tempoh maksimum enam bulan.

Pada 2025, YP merekodkan penyertaan lebih 14,000 bakat bumiputera merentasi programnya, dengan hampir 9,000 permohonan melibatkan bidang teknologi, merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah yayasan itu.

Bagi 2026, YP menyasarkan 12,000 penyertaan dalam program berkaitan teknologi, dengan perancangan meningkatkan skala kepada 50,000 bakat setahun menjelang 2030, selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk melahirkan 100,000 bakat secara kumulatif dalam tempoh lima tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×