BERMULA dengan tawa kecil dan masa berkualiti bersama anak-anak, siapa sangka detik ringkas itu akhirnya membuka pintu kepada sebuah hobi yang memberi makna lebih besar.
Pada awalnya, ia hanyalah aktiviti santai untuk mengisi masa terluang bersama keluarga, menyusun dan bermain dengan karakter kecil di hadapan mata.
Siti Nadia Roslan, 30, mengakui minatnya tercetus sejak 2024 apabila melihat dua anaknya, Nur Ayra Ameena Faizal, lima, dan Nur Aysha Amanda, dua, gembira bermain dengan tanah liat.
“Saya hanya ingin menghabiskan masa bersama anak-anak. Melihat mereka tersenyum sudah cukup untuk saya. Awal-awal buat bentuknya memang tak berapa cantik, tapi lama-kelamaan kemahiran dan hasil semakin baik,” katanya kepada Seri.
Namun, apabila satu demi satu arca berjaya disiapkan, kepuasan yang dirasai tidak lagi sekadar milik anak-anak.
Setiap karakter yang terbina seolah mencetuskan rasa teruja dan kreativiti yang semakin berkembang.
Sentuhan jari pada tanah liat lembut membuatkan ejen pelancongan di Pulau Langkawi ini merasakan setiap arca seolah hidup dalam imaginasi.
Dari bentuk sederhana seperti bunga kecil, Siti Nadia mula mencuba bentuk haiwan, watak kartun dan karakter rekaan sendiri.
Setiap figur yang siap membuatkan Siti Nadia teruja, sambil merasai kepuasan lebih mendalam daripada sekadar melihat anak-anak bermain.
Aktiviti ini juga membuka ruang untuknya meluahkan kreativiti yang sebelum ini tidak pernah dicuba.

Bahan yang digunakan ialah tanah liat lembut jenis air dry clay.
“Kadang-kadang saya cuba gabungkan warna dan bentuk yang di luar kebiasaan, hasilnya tetap menyeronokkan,” katanya.
Minat yang pada mulanya tercetus secara tidak sengaja perlahan-lahan bertukar menjadi hobi peribadi, disemai daripada kasih keluarga dan berkembang menjadi sesuatu yang lebih bermakna.
Cabaran pertama muncul apabila beberapa arca pecah ketika proses pengeringan, ibarat rasa kecewa itu menjadi pengajaran terbaik untuknya.
Daripada situ, dia mula meneliti teknik asas dan bahan yang sesuai, memastikan setiap hasil tanah liat lebih tahan lama.
Antara teknik yang dipelajari ialah menguli tanah liat sehingga benar-benar lembut agar tiada ruang udara dalam arca.
Gelembung udara dalam tanah liat mudah membuatkan arca pecah dan berlubang selepas kering selain memastikan arca tidak terkena air dan sembur rata pengilat di semua bahagian.
Setiap kali berjaya menghasilkan arca yang sempurna, rasa puas hati itu seolah memberi ganjaran selepas penat lelah seharian.
Proses mencampur warna tanah liat, menekan dan membentuknya memberi rasa seperti terapi yang menenangkan fikiran.
Kreativiti mula mekar apabila dia mencipta watak sendiri, memberi personaliti pada setiap arca.
“Setiap arca mempunyai cerita sendiri, saya rasa seolah-olah mereka hidup,” katanya.

Aktiviti ini juga membangkitkan rasa ingin tahu dan keyakinan diri kerana hasil tangan sendiri boleh menjadi sesuatu yang indah.
Ia menjadi ruang untuk Siti Nadia belajar bersabar kerana sesetengah bentuk memerlukan masa lama untuk disiapkan. Malah, setiap kegagalan menjadikan dia lebih tekun dan kreatif mencari jalan penyelesaian.
Seiring masa, hobi ini mula menjadi sebahagian daripada identitinya, bukan sekadar aktiviti sampingan.
Siti Nadia juga mula berkongsi hasil awalnya dengan anak-anak, melihat mereka kagum dengan setiap arca yang siap.
Daripada tawa dan sentuhan jari pada tanah liat, Siti Nadia menemui dunia kecil yang penuh warna dan imaginasi.
LUANG MASA WAKTU MALAM
Waktu malam menjadi ruang utama Siti Nadia meluangkan masa untuk hobi membuat arca tanah liat.
Selepas urusan kerja dan keluarga selesai, sekitar tiga hingga empat jam diperuntukkan untuk membentuk arca, mencuba idea baharu dan memperhalusi kemahiran.
“Saya biasanya buat arca pada waktu malam selepas selesai bekerja. Jadual agak fleksibel, dan kebanyakannya saya manfaatkan waktu malam.
“Dalam sehari, saya memperuntukkan sekitar tiga hingga empat jam untuk membentuk arca,” katanya.
Dalam suasana yang lebih tenang dan tanpa gangguan, aktiviti ini bukan sahaja membantu meningkatkan fokus, malah menjadi waktu me-time yang menenangkan selepas seharian berdepan rutin harian.
Dia turut memanfaatkan waktu malam untuk menonton tutorial di TikTok dan YouTube, menimba inspirasi daripada pembuat arca lain.
“Setiap kali ada masa terluang, saya menonton tutorial untuk melihat arca dan karakter yang bersesuaian serta sesuai dengan kemampuan saya. Selepas itu barulah saya mula membentuk dan mencuba,” katanya.
Belajar teknik baru bukan mudah, ada arca yang gagal dihasilkan beberapa kali sebelum akhirnya berjaya.

Kesabaran dan konsistensi menjadi kunci baginya untuk terus memperbaiki kemahiran.
Latihan berulang-ulang pada waktu malam mempercepatkan kemahiran dan kreativiti.
Malah, setiap kali arca siap, rasa puas itu seolah menghapus penat lelah hari itu.
Aktiviti malam yang konsisten menjadikan hobi ini lebih serius dan berkembang menjadi kemahiran yang boleh dibanggakan.
Setiap malam, Siti Nadia merasai kepuasan kecil melihat arca yang berjaya dibentuk dengan tangan sendiri.
Ia menjadi rutin yang disukai, walaupun hanya beberapa jam sehari, tetapi memberi impak besar pada kreativiti.
Malah, waktu malam memberinya peluang untuk menilai hasil kerja hari itu dan merancang projek seterusnya.
Setiap arca yang berjaya disiapkan memberi rasa pencapaian yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
SUMBER PENDAPATAN
Siti Nadia mula menyedari hasil arca yang dihasilkannya berpotensi dijadikan produk jualan.
Pendedahan melalui media sosial, terutamanya TikTok, membuka matanya kepada peluang ini.
Dia mula mencuba memasarkan hasil kreativitinya sebagai sumber pendapatan sampingan.
Hobi yang bermula sebagai aktiviti santai kini berubah menjadi pendapatan sampingan sebelum berkembang menjadi satu bisnes yang lebih serius.
Proses itu bukan mudah. Siti Nadia meluangkan masa berjam-jam menonton tutorial di YouTube dan TikTok, membuat eksperimen produk dan menjalankan penyelidikan serta pembangunan secara berperingkat melalui kaedah cuba jaya.
Pemilihan bahan tanah liat sangat penting. Foam clay menjadi pilihan kerana kesesuaian dengan jenis produk yang dihasilkan serta ketahanan lebih baik.
Produk awal yang dihasilkan adalah sederhana, seperti sejambak bunga dan bingkai tanah liat, sebelum mencuba bentuk lebih kompleks.

Setiap produk diuji terlebih dahulu untuk memastikan kualiti dan ketahanan sebelum diperkenalkan kepada pelanggan.
Pengalaman pertama menjual bermula dengan kenalan terdekat dan komuniti setempat, yang memberikan maklum balas positif dan meningkatkan keyakinannya.
Daripada situ, Siti Nadia mula mengembangkan pemasaran ke platform media sosial seperti Facebook dan TikTok.
Purata jualan yang diraih kira-kira RM1,500 dengan harga bermula dari RM25 hingga RM150.
Cabaran berniaga membuatkan Siti Nadia belajar mengurus masa, idea, produksi dan pemasaran secara serentak.
Apa yang asalnya dilakukan secara santai kini berubah menjadi komitmen penuh apabila menerima tempahan pelanggan.
Tambahnya, dia juga belajar menyesuaikan bentuk arca dengan permintaan pelanggan tanpa menjejaskan kreativiti.
Setiap maklum balas positif memberi motivasi untuk terus mencipta bentuk baru yang lebih menarik.
Kesilapan awal menjadi pengalaman berharga untuk memperbaiki teknik dan produk.
Hobi yang berubah menjadi bisnes memberi Siti Nadia kepuasan berbeza, kerana kini dia bukan sahaja berkarya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk orang lain.
DISIPLIN, KONSISTEN
Disiplin dan konsistensi menjadi faktor utama dalam memastikan hobi ini berterusan sebagai sumber pendapatan.
“Apabila hobi menjadi bisnes, disiplin dan konsistensi adalah kunci, bukan sekadar bergantung pada mood semata-mata,” katanya.
Daripada tawa bersama anak-anak hingga menjadi sumber pendapatan, membuktikan minat yang dijalankan dengan konsisten mampu membuka peluang lebih luas.
Dengan setiap arca yang berjaya dihasilkan dan dijual, Siti Nadia berasa bangga dengan perjalanan yang bermula daripada detik sederhana bersama keluarga.










