Stadium di Thailand bina trek larian berbucu 90 darjah cetus kebimbangan ramai

Stadium di Thailand bina trek larian berbucu 90 darjah cetus kebimbangan ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SONGKHLA: Sebuah kompleks sukan baharu bernilai 30 juta baht (RM3.8 juta) di Thailand mencuri perhatian ramai selepas reka bentuk trek lariannya yang berbucu tepat 90 darjah, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai aspek keselamatan dan praktikaliti.

Trek luar biasa itu terletak di Stadium Perbandaran Padang Besar, Songkhla dan mula tular selepas dipaparkan dalam satu hantaran Facebook oleh pejabat perbandaran pada 24 Disember tahun lalu.

Seperti kebanyakan stadium lain, trek tersebut mengelilingi sebuah padang bola sepak standard.

Namun berbeza dengan reka bentuk konvensional yang mempunyai selekoh melengkung di setiap penjuru, trek ini mengekalkan bentuk segi empat tepat, sama seperti padang di tengahnya.

Menurut hantaran Facebook berkenaan, sekumpulan individu termasuk Datuk Bandar Padang Besar, Suphat Santipiyukul, telah menjalankan pemeriksaan di stadium tersebut yang ketika itu masih belum siap sepenuhnya.

Bekas Datuk Bandar, Dech-it Khaothong berkata, trek berkenaan tidak direka untuk pertandingan olahraga.

Beliau menjelaskan pihak berkuasa memberi keutamaan kepada pembinaan padang bola sepak, menyebabkan ruang yang ada tidak mencukupi untuk membina trek larian mengikut piawaian biasa, lapor Thai Enquirer.

“Trek itu tidak pernah bertujuan untuk aktiviti olahraga, sebaliknya hanya sebagai laluan senaman untuk berjalan kaki,” katanya kepada Bangkok Post, sambil menambah projek berkenaan masih belum diserahkan secara rasmi dan masih boleh diubah suai.

Beliau turut menegaskan trek tersebut hanyalah kemudahan tambahan, manakala padang bola sepak itu sendiri memenuhi semua piawaian antarabangsa.

Reka bentuk trek itu mengundang pelbagai reaksi di media sosial, daripada sindiran lucu hingga kebimbangan serius.

“Kalau konsep selekoh 90 darjah ini jadi trend, kita kena mula berlatih membelok tajam. Lutut saya mungkin tak mampu,” kata seorang pengguna.

Pengguna Facebook, Christopher Michael del Rosario pula berseloroh tentang trek itu.

“Sekurang-kurangnya kita tidak boleh kata syarikat pembinaan ini memotong penjuru,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Phill Oliver, meluahkan kebimbangan, semua pelari akan mengalami kecederaan lutut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×