Masalah kesihatan paksa kru stesen angkasa pulang awal

Masalah kesihatan paksa kru stesen angkasa pulang awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Satu keadaan perubatan serius melibatkan seorang kru di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) memaksa Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) membawa pulang angkasawan terbabit bersama tiga rakan kru lebih awal daripada jadual.

Ia sekaligus menjadikannya kepulangan kecemasan pertama seumpama itu dalam sejarah makmal orbit berusia 25 tahun tersebut.

Pentadbir NASA, Jared Isaacman, dalam sidang media tergempar di Washington pada Jumaat berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian bersama pegawai perubatan mendapati ISS tidak mempunyai keupayaan untuk mendiagnosis dan merawat keadaan tersebut dengan sewajarnya.

Menurut Reuters, NASA tidak mendedahkan identiti angkasawan yang terlibat mahupun butiran masalah kesihatan berkenaan, dengan alasan privasi peribadi kru.

Agensi itu juga tidak menyatakan angkasawan mana daripada empat kru misi Crew-11 yang terjejas.

Menurut Dr James Polk, masalah perubatan itu bukan kecederaan akibat operasi, bermakna ia tidak berlaku ketika angkasawan berkenaan menjalankan tugas di ISS.

NASA pada Rabu lalu membatalkan satu aktiviti keluar stesen angkasa atau spacewalk yang dijadualkan pada Khamis susulan kebimbangan perubatan melibatkan seorang angkasawan. Dalam kenyataan tengah malamnya, NASA memaklumkan ia sedang mempertimbangkan untuk menamatkan misi putaran angkasawan tersebut lebih awal.

Kru Crew-11 terdiri daripada angkasawan Amerika Syarikat (AS) Zena Cardman dan Mike Fincke, angkasawan Jepun Kimiya Yui, serta kosmonaut Russia Oleg Platonov.

Mereka berada di ISS sejak dilancarkan dari Florida pada Ogos lalu dan pada asalnya dijadualkan kembali ke bumi sekitar Mei 2026.

Fincke, yang dilantik sebagai komander stesen dan Cardman selaku jurutera penerbangan, sepatutnya melaksanakan spacewalk selama 6 jam setengah pada Khamis bagi memasang peralatan di bahagian luar stesen.

NASA terkenal dengan pendekatan sangat tertutup terhadap isu kesihatan angkasawan di ISS, dan kes-kes perubatan jarang didedahkan kepada umum.

Aktiviti spacewalk pula dianggap antara misi paling berisiko dan mencabar, memerlukan latihan berbulan-bulan, penggunaan sut angkasa yang besar serta koordinasi ketat ketika angkasawan terikat pada stesen.

Pada 2024, NASA pernah membatalkan spacewalk pada saat akhir selepas seorang angkasawan mengalami ketidakselesaan sut angkasa manakala pada 2021, angkasawan AS, Mark Vande Hei membatalkan spacewalk akibat saraf terhimpit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×