SUKAN SEA 2025 sudah berakhir. Sebagai warganegara Malaysia, kami amat bangga atas kejayaan atlet negara dalam pelbagai bidang sukan. Segala usaha dan pengorbanan masa, tenaga mahupun wang ringgit atlet menjalani latihan serta bertanding tetap disanjung tinggi. Terima kasih dan tahniah kami ucapkan.
Namun begitu, sebagai rakyat Malaysia, kami sedih apabila hampir tiada atlet bukan Melayu menggunakan bahasa kebangsaan ketika sesi temu bual. Ada juga yang mampu menyelitkan satu atau dua patah perkataan Melayu dalam komunikasi.
Situasi ini boleh menimbulkan keraguan tentang status mereka sebagai warganegara Malaysia. Segelintir atlet Melayu pula lebih cenderung menggunakan bahasa rojak. Mungkin mereka berpendapat demikianlah bahasa Melayu yang sepatutnya digunakan seperti oleh sesetengah wakil rakyat ketika berbahas di Parlimen. Demikianlah akibatnya apabila penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak diperlihatkan kepentingannya oleh orang dewasa.
Perkara ini sememangnya disedari oleh pihak berkuasa, khususnya oleh kementerian yang berkenaan tetapi sengaja dibiarkan dan dianggap tidak penting. Golongan ini menganggap kejayaan atlet sebagai lambang patriotik.
Pandangan sempit ini disokong pula oleh pihak-pihak tertentu yang tidak memikirkan akibatnya dalam jangka panjang.
Oleh sebab itu sehingga kini, usaha untuk menangani kelemahan ini tidak ada ataupun tidak jelas. Cuma, pada musim tertentu, terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba bersandiwara dengan tajuk Memperkasakan Bahasa Melayu.-UTUSAN
NAWI ISMAIL
Pesara guru bahasa Melayu









