Trump idam ‘beli’ Greenland, mahu jadikan tapak penting sistem pertahanan AS

Trump idam ‘beli’ Greenland, mahu jadikan tapak penting sistem pertahanan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Diplomat utama Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio, mengumumkan akan bertemu dengan pemimpin Denmark minggu depan, namun menegaskan tiada perubahan terhadap matlamat utama Presiden, Donald Trump untuk mengambil alih Greenland.

Operasi ketenteraan AS pada hujung minggu yang menangkap pemimpin Venezuela membangkitkan kebimbangan mengenai niat Washington terhadap Greenland, malah Rubio berkata, Trump masih mempunyai pilihan untuk mencapai matlamatnya menggunakan kaedah ketenteraan.

Pengambilalihan ketenteraan terhadap pulau kaya mineral itu daripada Denmark yang juga sekutu lama AS, bakal menggoncang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan memburukkan hubungan Trump dengan pemimpin Eropah lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Cadangan itu turut mene­rima tentangan di Kongres AS, dengan senator Demokrat dan Republikan menyatakan mereka menjangkakan rang undang-undang untuk menghalang Trump daripada berusaha mengambil alih Greenland akan dibahaskan.

Greenland, yang terletak di kawasan strategik antara Eropah dan Amerika Utara, merupakan tapak penting bagi sistem pertahanan peluru berpandu balistik AS sejak beberapa dekad.

Kekayaan mineralnya juga selari dengan usaha Washington mengurangkan kebergantungan kepada China.

Trump mula mencadangkan pengambilalihan Greenland pada tahun 2019, semasa penggal presidennya yang pertama.

Beliau mendakwa pulau itu penting untuk strategi ketenteraan AS dan Denmark tidak cukup berusaha untuk melindunginya, walaupun dua perjanjian sedia ada memberi akses hampir tanpa had kepada tentera AS, satu ditandatangani dengan Denmark pada 1951 dan satu lagi pada 2023.

Pejabat Rumah Putih berkata, Trump sedang membincangkan pelbagai pilihan untuk memperoleh Greenland, termasuk penggunaan tentera AS walaupun mendapat tentangan Eropah.

Pegawai lain dalam pentadbiran berkata, pendekatan lain juga mungkin diambil dengan Rubio memberitahu sesi taklimat tertutup pemimpin Kongres, matlamat utama Trump kini adalah untuk membeli pulau itu.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, perbincangan mengenai pembelian Greenland sedang dijalankan secara aktif oleh Trump dan pasukan keselamatan nasionalnya.

“Semua pilihan sentiasa terbuka untuk Trump. Pilihan pertama presiden sentiasa diplomasi,” katanya.

BUKAN UNTUK DIJUAL

Ahli Parlimen Greenland dari Parlimen Denmark, Aaja Chemnitz menegaskan semua penduduk pulau itu akan bersatu menolak pengambilalihan oleh AS.

“Greenland bukan untuk dijual dan tidak akan pernah dijual. Campur tangan ketenteraan AS adalah sesuatu yang sangat mengejutkan,” katanya.

Pemimpin negara-negara Eropah utama dan Kanada minggu ini menyatakan sokongan mereka terhadap Greenland, menegaskan pulau itu milik rakyatnya.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, yang menegaskan sokongan terhadap Denmark berhubung Greenland, bercakap dengan Trump pada Rabu dan menyampaikan pendirian beliau.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, berkata, beliau akan membincangkan isu Greenland dengan rakan sejawat dari Jerman dan Poland.

“Kami ingin mengambil tindakan, tetapi ingin melakukannya bersama rakan Eropah kami,” katanya kepada radio France Inter. Sumber kerajaan Jerman berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan negara-negara Eropah lain dan Denmark untuk langkah seterusnya.

Seorang pegawai kanan Eropah berkata, Denmark perlu mengetuai usaha untuk menyelaraskan tindak balas, tetapi negara itu belum memaklumkan kepada sekutu jenis sokongan konkrit yang mereka perlukan.

Greenland, pulau terbesar dunia dengan populasi hanya 57,000 orang bukan anggota bebas NATO tetapi dilindungi oleh keahlian Denmark.

Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU), Antonio Costa berkata, EU akan menyokong Greenland dan Denmark apabila diperlukan dan tidak akan menerima sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Trump berulang kali berkata kapal Russia dan China mengintai perairan sekitar Greenland, tetapi Denmark menafikannya.

“Imej yang digambarkan tentang kapal Russia dan China di fiord Nuuk serta pelaburan China yang besar adalah tidak tepat. Data penjejakan kapal menunjukkan tiada kehadiran kapal Russia atau China berhampiran Greenland,” kata Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×