Peguam didakwa subahat edar, miliki dadah 

 Peguam berdepan tiga pertuduhan subahat edar, miliki dadah 

CHE Muhammad Amir Syafiq Che Musa semasa dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan bersubahat dengan seorang banduan Penjara Marang mengedar dan memiliki dadah, bulan lalu.

Che Muhammad Amir Syafiq Che Musa, 32, sekadar mengangguk faham sebaik sahaja semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh didakwa bersubahat dengan Muhammad Syafiq Syahmi Mohamad Zafri, 26, mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 123 gram. Perbuatan tersebut didakwa dilakukannya di dalam lokap Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, 23 Disember lalu.

Che Muhammad Amir Syafiq didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup mengikut Seksyen 39B (2) akta sama jika sabit kesalahan. 

Dia turut menghadapi pertuduhan bersubahat dengan individu sama memiliki dadah jenis ganja seberat 21 gram dan nimetazepam seberat 13 gram di lokasi, tarikh dan masa sama. Che Muhammad Amir Syafiq didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta antara tiga dan sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 April ini.

Pada 2 Januari lalu, seorang peguam lelaki dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan bersubahat menyeludup masuk dadah ke dalam Penjara Marang pada minggu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, kegiatan tersebut terbongkar berikutan imbasan badan menemukan dadah jenis pil kuda, ganja dan Erimin 5 dalam tubuh seorang banduan lelaki yang baru selesai menjalani pembicaraan kes dadah di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×