Peguam anak Rob Reiner tarik diri daripada kes bunuh

Peguam anak Rob Reiner tarik diri daripada kes bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELAS: Seorang peguam ternama mewakili Nick Reiner yang didakwa membunuh bapa dan ibunya, pengarah Hollywood terkenal Rob Reiner dan Michele Reiner mengumumkan menarik diri daripada kes tersebut.

Perkembangan itu didedahkan ketika satu prosiding di Mahkamah Tinggi Los Angeles, apabila Alan Jackson tidak lagi mewakili Nick Reiner, walaupun peguam berkenaan kemudiannya menyatakan beliau percaya bekas anak guamnya itu tidak bersalah.

Reiner, 32, tidak memasukkan sebarang pengakuan terhadap pertuduhan membunuh ibu bapanya dengan niat membunuh darjah pertama semasa kemunculan singkat di mahkamah.

Pasangan Reiner ditemui mati dengan kesan tikaman pada 14 Disember di bilik tidur kediaman mereka di Brentwood, Los Angeles.

Bercakap kepada media di luar mahkamah selepas pendengaran pada Rabu, Jackson mengesahkan beliau sudah menarik diri daripada kes itu.

“Keadaan di luar kawalan saya, dan yang lebih penting di luar kawalan Nick telah menjadikan mustahil untuk kami meneruskan pembelaan ini. Saya terikat dari segi undang-undang dan etika untuk tidak menjelaskan sebab-sebabnya,” katanya.

Peguam itu, yang sebelum ini pernah mewakili Harvey Weinstein dan Kevin Spacey, turut menegaskan Reiner tidak bersalah atas pertuduhan pembunuhan.

Bagaimanapun, Pendakwa Daerah Los Angeles County, Nathan Hochman, menyatakan keyakinan sebaliknya.

“Kami amat yakin juri akan mensabitkan Nick Reiner tanpa sebarang keraguan munasabah atas pembunuhan kejam terhadap ibu bapanya, Rob Reiner dan Michele Singer Reiner,” katanya.

Tertuduh kini akan diwakili oleh seorang peguam bantuan awam. Untuk layak menerima peguam yang dibiayai kerajaan, seseorang tertuduh perlu membuktikan mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membiayai pembelaan sendiri.

Nilai kekayaan bersih Rob Reiner dianggarkan sekitar AS$200 juta (RM812 juta) dan masih tidak jelas siapa yang menanggung bayaran pendahuluan bagi khidmat peguam ternama anaknya itu. Tertuduh mempunyai seorang abang dan seorang kakak.

Rob Reiner, 78, mengarahkan beberapa filem ikonik merentasi pelbagai genre, termasuk This Is Spinal Tap, Misery dan A Few Good Men. Michele Singer Reiner, 70, pula merupakan seorang pelakon, jurugambar dan penerbit. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×