WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersama pegawai-pegawainya sedang ‘secara aktif’ membincangkan kemungkinan membuat tawaran untuk membeli wilayah Denmark, Greenland, demikian disahkan Rumah Putih.
“Ia adalah sesuatu yang kini sedang dibincangkan secara aktif oleh presiden dan pasukan keselamatan negaranya,” kata jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, kepada pemberita pada Rabu.
Bagaimanapun, kedua-dua Greenland dan Denmark berulang kali menegaskan pulau itu bukan untuk dijual.
Apabila ditanya mengapa pentadbiran Trump sebelum ini menyatakan ia tidak menolak kemungkinan menggunakan kekuatan ketenteraan untuk memperoleh Greenland, Leavitt menjawab, semua pilihan sentiasa berada di atas meja, namun pilihan pertama Trump sentiasa diplomasi.
Kebimbangan mengenai masa depan wilayah itu kembali timbul selepas Trump secara unilateral menggunakan kekuatan ketenteraan terhadap Venezuela pada Sabtu lalu untuk menahan Presidennya, Nicolás Maduro.
Denmark yang juga sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyatakan, sebarang serangan terhadap wilayahnya akan menamatkan pakatan ketenteraan tersebut.
Pentadbiran Trump berkata, Greenland adalah penting kepada keselamatan AS. Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata, pada Rabu beliau akan mengadakan perbincangan dengan Denmark minggu depan.
Trump sebelum ini pernah membuat tawaran untuk membeli pulau itu pada 2019 semasa penggal pertamanya sebagai presiden, namun dimaklumkan bahawa Greenland tidak untuk dijual.
“Pemerolehan Greenland oleh AS bukanlah idea baharu.
“Presiden bersikap sangat terbuka dan jelas kepada anda semua dan kepada dunia bahawa beliau melihat perkara ini sebagai kepentingan terbaik AS untuk mengekang pencerobohan Russia dan China di rantau Artik. Sebab itulah pasukannya kini membincangkan mengenai satu potensi pembelian,” kata Leavitt
Rumah Putih sebelum ini berkata, Trump telah membincangkan pelbagai pilihan untuk memperoleh Greenland, termasuk penggunaan kekuatan ketenteraan.
“Semua pilihan sentiasa berada di atas meja bagi Trump ketika beliau menilai apa yang terbaik untuk kepentingan AS,” jelas Leavitt.-AGENSI









