Pelihara kebersihan negara tanggungjawab kontraktor

Pelihara kebersihan negara tanggungjawab kontraktor

PENTING bagi kontraktor-kontraktor pembersihan bagi membuktikan kemampuan mereka memelihara kebersihan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN Melawat Malaysia 2026 merupakan detik penting bagi kontraktor-kontraktor pembersihan bagi membuktikan kemampuan mereka memelihara kebersihan negara. Kerajaan menyasarkan sebanyak 40 juta pelancong asing.

Seramai 40 juta pelancong asing yang akan menilai kebersihan negara kita. Menilai bukan sahaja sikap rakyat negara ini terhadap kebersihan dan sejauh mana kita menghargai kebersihan, tetapi juga kemampuan kontraktor-kontraktor pembersihan di Malaysia memelihara kebersihan negara dengan keadaan yang ada.

Sebagai kontraktor pembersihan kita tidak boleh menyalahkan sikap orang ramai semata-mata. Kita diamanahkan untuk menjaga dan memelihara kebersihan, maka kita perlu memastikan kerja-kerja cucian dijalankan mengikut keperluan dan dijalankan dengan berkesan.

Sekiranya sesuatu tempat kerap dikunjungi atau digunakan oleh orang ramai dan kerap kotor, sudah tentulah ia memerlukan cucian yang lebih kerap. Sebaik-baiknya, sekerap kekotoran yang berlaku.

Kekerapan cucian sahaja tidak menjamin sesuatu tempat itu akan bersih, sekiranya kerja cucian tidak dijalankan dengan cara yang betul dan berkesan.

Sekiranya pekerja tidak menukar air yang telah kotor, dan terus mengemop dengan air yang kotor, lantai tidak akan semakin bersih, bahkan akan bertambah kotor.

Untuk itu, setiap pekerja pencuci seharusnya diberi latihan cara kerja yang betul dan berkesan. Jangan serahkan kepada pengalaman mengemas rumah makcik-makcik yang diambil bekerja dan mengharapkan kerja cucian akan berjalan dengan sempurna.

MACM menyambut baik langkah kerajaan mengenakan hukuman khidmat masyarakat, seperti mengutip sampah di kawasan awam untuk mereka yang membuang sampah. Ia bukan hanya hukuman tetapi pengajaran supaya lebih menghargai kebersihan.

Kita akan lebih menghargai kebersihan sekiranya sesuatu tempat itu sentiasa bersih, Sebaliknya sekira terdapat sampah, walaupun hanya puntung rokok di lantai, kita tidak akan segan silu untuk menambah kotor tempat tersebut. Alang-alang kotor, biar kotor terus.

Di bahu kita yang memilih profesion sebagai pencuci, memegang amanah untuk memastikan negara ini sentiasa bersih, nyaman dan selesa. Jangan persoalkan sikap masyarakat atau pihak berkuasa tetapi persoalkan apakah kita telah memenuhi amanah yang dipegang. – UTUSAN

NORUDDIN IDRIS
Presiden Persatuan Pengurusan
Pembersihan Malaysia (MACM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×